Sunday, February 15

Lelaki yang diuji


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.



Sejak kebelakangan  ini, saya rasa beban beban yang tergalas di mahu makin berat. Bukan sekadar tanggungjawab dakwah, malah ujian demi ujian kehidupan datang singgah bertubi tubi dalam perjalanan. Tentu sukar untuk diterima jika seorang akh yang ditarbiyah rasa lelah dengan ujian ujian kehidupan mereka, seolah olah tarbiyah selama ini tidak langsung mempersiapkan mereka untuk menghadapi semua ini.

Cuma kali ini, watak utama dalam kisah kisah ujian ini bukan lagi diri sendiri, tapi ia berlegar di sekitar insan insan yang disekeliling; orang orang yang saya paling cinta, bersama nama yang paling selalu terlantun dalam doa.

Banyak yang saya muhasabahkan, bila naqib sendiri memberi nasihat,

"Bila datang satu ujian, sentiasa renung kembali diri sendiri. Bukan orang lain. Ada lagi yang tempang. Muraqabah kita dengan tuhan, amal dakwah, hubungan dengan orang lain.."

Kata kata naqib buat saya berhenti dan kembali merenung kehidupan.

Benar kata orang, kita tidak akan belajar apa apa jika sentiasa menangkan ego dan diri kita. Hati mungkin mudah diubati, kedukaan juga mungkin lebih mudah untuk kita singkirkan, namun akhirnya kita akan kekal di takuk yang sama tanpa apa apa tarbiyah kehidupan dari ujian yang Allah letakkan kepada kita.

Saya mengambil keputusan untuk membawa kedukaan itu jauh jauh, mengikuti saya merantau ke kampung halaman. Rasa ia tergesa gesa, dan banyak bebanan tugas yang saya terpaksa tinggalkan, saya rasa itulah penawar terbaik akan semua kesesakkan dada yang ada. Apa yang saya pasti sejak dulu, bertemu kedua orang tua tidak pernah gagal untuk beri bahagia.

Biarlah ia cuma singgah bermalam satu dua hari, perjalanan bersama beg galas menaiki tren kos murah, menikmati lampu malam dan dinginnya hawa dalam koc bersama sebuah buku, ia adalah perjalanan yang sentiasa saya membantu saya kembali menjadi diri sendiri.

Antara keringkasan, lampu malam, buku, dan kebahagiaan.

Yang menanti di dedaun pintu rumah - terutamanya - adalah kenikmatan yang lebih besar dari sebuah perjalanan spiritual. Bertemu kedua pintu syurga, bertemu saudara, adalah hari hari yang indah, tidak ternilai. Dan saya menggunakan beberapa hari itu untuk cuba kembali memuhasabahkan hubungan antara saya dan keluarga.

Cinta itu pada saya tidak semestinya bermakna kebersamaan. Cinta kadang kala bermaksud mencampakkan anak ke bakul untuk dihanyut arus sungai. Cinta mungkin bermakna meninggalkan anak isteri dimamah kesunyian tanpa makanan. Atau mungkin hingga meletakkan pisau tajam ke batang leher cahaya mata sendiri.

Tapi sebahagian besar erti cinta juga adalah pada kegembiraan orang yang kita sayang. Melihat ibu tersenyum dengan jenaka picisan saya, abah yang mendengar perkongsian saya tentang dunia perkerjaan, atau adik adik yang gembira dengan cerita cerita fasa hidup baru saya, adalah sesuatu yang layak untuk diperjuangkan dalam kehidupan.

Dengan nasihat naqib yang masih saya muhasabahkan sepanjang perjalanan, saya cuba keluar dari zon selesa diri sendiri. Saya cuba meluangkan lebih masa dengan adik adik perempuan dan mengatakan yang saya sayang mereka; satu perkara yang selama ini susah untuk saya luahkan. Berkongsi cerita hidup mereka (termasuk perkembangan adik yang sedang bertimbang timbang calon pasangan), cuba mendoakan yang terbaik.

Mungkin dalam ketergesaan kita mengenali diri sendiri, sudah banyak masa masa kehidupan insan insan yang kita cinta, terlerai dari genggaman peduli.

Sepatutnya dalam larian ini, sesekali kita perlu berhenti, pandang ke belakang dan hulurkan tangan menyambut mereka.

Kerana apa sahaja yang kita terlepas dalam satu satu masa, tidak akan pernah dapat ditebus walau apa juga yang kita korbankan selepasnya.

Perasaan. Kenangan hidup. Memori.

Atas semangat yang sama, saya mendapatkan seorang demi seorang ikhwah yang saya kenali sejak awal awal tarbiyah untuk bersua. Tak mahu ramai. Tak mahu tenggelam dalam riuh. Cuma berdua dalam satu satu masa, bertanya khabar, berkongsi berita, menabur nasihat.

Ada akh yang datang jauh dari Pahang ke Bangi untuk bersarapan pagi berdua. Ada yang dalam kepenatan tugas sepanjang hari, ajak berjumpa. Ada yang dalam timbunan ujian mahu makan bersama.

Saat saat beginilah rupanya yang saya hilang, bila semakin lama semakin terkejar kejar urusan kehidupan.

huuuuuuu.


Moga pedih jerih kehidupan kita sekarang, membesarkan kita untuk menjadi insan yang lebih kuat di masa akan datang.

InsyaAllah.

Kita semakin membesar dan matang, moga dengan semua anugerah itu kita lebih berlapang hati dan kuat menerima apa juga keputusan dan takdir Ilahi.

Biarlah kita sentiasa mengharapkan keredhaan Allah semata mata, dan janganlah kita ditinggalkan tuhan walau sekelip mata.


Dua minggu lagi untuk tahu. Harap harapnya baik. Doakan saya :)


Mengharapkan yang terbaik dari langit,

Adwa'.












2 comments:

Anonymous said...

semoga dimudahkan segala hal. untuk dua minggu lagi, semoga diberi pilihan yang terbaik.

aha. macam tahu tahu je apabendanya.

apapun, letakkanlah sepenuh kebergantungan sepenuhnya kepada Allah. inshaAllah yang baik baik akan datang.

Menang atau Syahid Adwa'. said...

Apa benda yang lagi dua minggu? -.-
mungkinkah dapat tahu result kerja baru? atau berjaya atau tidak ke Indonesia untuk projek? huhu

mukmin dont assume. they ask instead.