Sunday, January 5

"Temuduga itu mirip bertaaruf.."


Bismillah.

Tahun baru, coret lembaran yang baru insyaAllah.

Tiba tiba tergerak untuk kongsikan pengalaman pengalaman temuduga yang menarik pernah saya duduki. InsyaAllah., moga bermanfaat buat sesiapa yang mahu mencari kerja.

Tajuk saje letak kontroversi sikit biasalah kan hehe.

Moga Allah redha.


(i)

Temuduga ini berlaku di KLCC. Eh bukan KLCC tapi menara Etika, beberapa meter dari KLCC itu.
Ia adalah syarikat antarabangsa yang menjadi pengeluar injap untuk industri petroleum, plan janakuasa dan sebagainya.

Yang menjadi penemuduga saya ketika itu adalah seorang lelaki awal 30-an dari Belgium.

Mungkin kerana umur kami yang (hampir) sebaya, saya tidak begitu kekok berbual dengannya. Tambahan pula dia adalah alumnus di universiti saya dahulu, maka mungkin banyak cerita yang boleh kami bualkan.

Tekaan saya tidak meleset. Namun banyak itu mungkin sedikit berbeza pengertiannya.

Memang banyak pula dia cakapkan. Dalam masa sejam tempoh temuduga, mungkin 5 minit sahaja masa saya bersuara. Selebihnya adalah kisah kisah dia, bagaimana dia berkerja dan sebagainya.

Hairan juga kan. Bagaimana seseorang itu menilai dengan masa yang begitu sedikit.

Saya pulang dengan penuh tanda tanya.

Beberapa hari kemudian, keputusan diumumkan dan saya gagal untuk disenaraipendek.

Alhamdulillah, Allah sediakan yang lebih baik.



(ii)

Temuduga yang kedua ini mudah dan ringkas. Walaupun jarak antara Nilai dan Bangi tidaklah begitu jauh, namun saya memilih untuk bertolak 2 jam lebih awal. Biar sampai awal di sana, ada masa untuk bertenang dan mengatur nafas. Untung untung, boleh juga membaca keadaan sedikit sebanyak.

Syarikat itu tidak seperti yang saya sangkakan. Ia adalah sebuah syarikat kecil yang kelihatannya baru beroperasi. Perkerjanya pula mungkin hanya belasan orang sahaja.

Saya telah ditemuduga oleh seorang lelaki dalam 40-an. Dia sebenarnya adalah salah seorang dari Pengarah syarikat itu sendiri.

Sepanjang temuduga, saya langsung tidak ditanya tentang soalan soalan teknikal. Sesi itu kelihatan lebih kepada perkongsian pengalaman hidup. Bagaimana kesusahan untuk hidup di zaman ini, bagaimana keadaannya di zaman dahulu, pengalaman di UK, juga bagaimana menyusun keluarga.

Jujurnya saya begitu tersentuh dengan kisah kisah inspirasi dari hidup beliau. Bagaimana beliau berhenti kerja di UK semata mata kerana melihat ada seorang homeless yang ingin memohon jawatan yang sama namun tiada kekosongan baginya. Juga kisah dimana beliau menjualkan kereta barunya dengan harga yang murah kepada saudara saudaranya, tanpa meminta wang sedikitpun.

Saya membaca peribadinya yang begitu jernih, dan saya nampak nilai nilai Islam di jasad seorang bukan Islam.

Dari situ saya membuat keazaman, jika ditaqdirkan saya berkerja di syarikat ini, saya akan mencontohi semua kejayaan beliau serta bermuhasabah kerendahan hatinya. Itu bicara saya di dalam hati.

Seketika kemudian, sebelum pulang, beliau sendiri memberitahu bahawa saya diterima berkerja. Alhamdulillah :)


----

(iii)

Ini adalah temuduga yang terbaik pernah saya hadiri sepanjang hidup saya.

Seminggu setelah saya mendapat kerja di Nilai, saya telah menerima satu lagi panggilan temuduga. Syarikat ini tidak begitu jauh dari syarikat yang menerima saya sebelum ini.

Entah kenapa, saya setuju sahaja dengan jemputan temuduga ketika itu, sedangkan sebenarnya hati sudah selesa kerana dengan peluang perkerjaan sebelum ini.

Saya mengulangi aktiviti yang sama seperti persiapan temuduga yang sebelum ini;
Berjaga malam, membuat bacaan tentang syarikat, bersiap dengan soalan yang mungkin akan ditanya, dan err berhias diri.

"Ini adalah temuduga yang pertama untuk tahun ini, moga berhasil."

Antara bicara yang kerap bermain di kepala. Moga moga semua urusan lancar.

Namun pagi itu,
urusan tidaklah seperti yang disangka.

Mungkin terlalu yakin dengan GPS di tablet besar di raga motosikal (hehe), saya telah mengambil keputusan untuk keluar sedikit lewat pagi itu. Tidak bergegas gegas. Alih alih, saya gagal mencari posisi sebenar syarikat itu atas sebab kewujudan jalan jalan baru yang tidak dapat dibaca oleh peta GPS saya. Menggelabah juga. Bayangkan, saya ada lagi setengah jam sebelum temuduga namun saya masih berpeluh peluh membonceng motosikal di kawasan taman perumahan orang.

Taqdir Allah, saya ketemu juga dengan tempat temuduga itu setelah memecut laju kawasan industri tersebut.
Melangkah ke syarikat itu sambil mulut tidak berhenti berdoa.

Saya telah diminta untuk membuat satu ujian IQ sebelum sesi temuduga oleh seorang pegawai sumber manusia. Soalannya tidak banyak, dan saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya.
Beberapa minit kemudian, saya dipanggil masuk. Di hadapan saya ada seorang lelaki 50-an berkopiah duduk tersenyum dengan muka yang manis. Senario yang selesa sebagai muqaddimah, fikir saya.

"Awak tahu awak dapat berapa dalam test IQ?" tanya pakcik itu.

Saya hanya mampu tersenyum. Dia menyemak kertas dihadapan saya, terang terang markah itu terpamer. Retorik sungguh.

"Awak dapat 18/18. Markah penuh. Tak pernah ada lagi orang yang dapat seperti ni. Awak meniru ya?", kata beliau.

Sedikit sebanyak, senyuman saya menjadi kelat. Mungkin saya rasa sedikit tersinggung dengan pertanyaan beliau.

"Saya tak meniru. Tak ada siapa yang beritahu soalan itu pada saya.",
balas saya dengan suara yang agak tegas. Kemain eh huhu.

Saya kemudiannya disuruh untuk memperkenalkan diri. Mungkin kerana ketidakpuasan hati saya dengan soalannya sebentar tadi, juga mungkin kerana khuatir imej impresi pertama saya terjejas, saya memberitahunya bahawa saya ini adalah aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia sejak beberapa tahun lepas.

Dan luahan itu mengubah segalanya.

Tidak saya sangka, tuan penemuduga itu menduga saya bertalu talu. Bukan dengan soalan teknikal, bahkan tidak ada satu pun soalan teknikal ditanya, namun dengan soalan soalan berfikrah Islami.

Dari soalan apakah tujuan hidup, bagaimanakah menjadi hamba dan khalifah, perbezaan muslim dan mukmin, hinggalah kepada hukum membaca yasin di malam jumaat.

Memang lain dari yang lain tuan haji ni huhu.

Percayalah kepada saya, meski soalan itu tampak mudah untuk dijawab,
namun cabarannya ada pada bagaimana cara kita membalas pertanyaannya.

Dari dahulu saya diajar untuk membaca audiens yang bertanya, lantas membalas sesuai dengan bahasa dan kefahaman mereka.

Di saat saya diasak bertalu talu seperti itu, masa untuk membaca kecenderungan dan fikrah penemuduga itu sangat minimal,
dan akhirnya saya menjawab dengan jawapan jawapan selamat. Play safe bak kata orang.

Setiap jawapan saya akan beliau huraikan dengan ceramah ceramah motivasi ^^"

Dan akhirnya, di akhir temuduga itu beliau telah berkata,

"Awak boleh bagi ceramah di Al Amin Bangi? Saya datang tapi nak dengar sahaja?"

Satu khulasah temuduga yang tak pernah saya jangkakan.





-----

Banyak saya belajar dari pengalaman pengalaman hidup. Mungkin semua orang ada kisah kisah kehidupan mereka sendiri, namun bagaimana setiap kita ini menafsir dan mengambil ibrahnya adalah pembeda.

Siapa kita menentukan apa yang kita dapat dalam renungan hidup.

Saya masih teringat kata kata akh Hussaini ketika bersama beliau makan tengahari,

"Akhi, ikhwah ini mudah sahaja untuk dapat kerja. Sepanjang ana kenal, kerja yang berlumba lumba nak cari ikhwah.

Tapi enta ada di posisi untuk memilih juga. Kita juga perlu memilih siapa majikan kita, siapa yang patut kita salurkan tenaga.

Seperti juga bertaaruf.


Kita tidak perlu menjadi yang terbaik. Cukup kita jadi diri kita seadanya.

Zahirkan apa kekuatan, zahirkan apa kekurangan. Jika dia dapat terima keduanya, Alhamdulillah. Jika tidak, yakinlah itu yang terbaik.."




Cari kerja, sudah. Bertaaruf itu err lambat lagi kot.

Ala kulli haal, doakan ya.

Saya anak muda yang bertatih menelusuri jalan kehidupan.

Peganglah tangan saya.





Adwa'.




No comments: