Di kilang tempat saya bekerja sekarang ada seorang lelaki Myanmar. Tinggi sedang, berbadan sedang. Rambut kerinting beralun, hidung mancung, senyuman menawan dengan gigi putih berbaris rapi.
Pendek kata, dia mungkin adalah definisi kekacakkan bagi rata rata wanita yang membesar dengan sinetron indonesia dan drama korea. Senyumannya yang manis mampu mencairkan hati anak anak gadis hingga mak mak datin barangkali. Bahkan, saya yang lelaki tulen ini juga akur dengan ketampanan beliau. Kalaulah saya ini anak gadis, saya juga pasti akan mempunyai masalah menundukkan pandangan bila berhadapan dengannya.
Yang menimbulkan kekaguman, adalah cerita cerita ujian yang beliau terima.
Saya bertanya dengan rakan rakan sekerja, bagaimana perilaku pemuda kacak itu tadi. Dan cerita yang saya terima sangat mengagumkan. Beliau pernah digoda beberapa kali oleh pekerja indonesia dan Myanmar, tetapi beliau menolak sebarang ajakkan dengan cara yang baik dan sopan. Beliau pernah diajak menonton cerita lucah bersama rakan Bangladeshnya, namun dia terketar ketar takutan sambil berkata tidak. Dia juga amat menjarakkan diri dengan wanita umumnya, tetapi sangat selesa bergaul bersama rakan rakan sejantina.
Saya kagum, bukan sahaja kerana akhlaq islami yang tercambah pada bukan Islam, namun bagaimana dia tidak terpesona dengan kekacakkan dirinya.
Ramai orang mungkin terasa gah dengan kurniakan kecantikan rupa paras yang dia terima, tanpa menyedari bahawa kecantikan itu sekadar senipis kulit muka. Tiada apa yang diusahakannya atas mujahadah diri sendiri, semua itu adalah taburan rezeki dari tuhan.
Tapi masih ramai yang bermegah, lalu menyalahgunakan ujian.
Memikat para gadis, memancing para lelaki, memperagakannya kepada mereka yang tidak berhak, malah mengeksploitasikannya untuk kepentingan kepentingan yang salah.
Ini satu kezaliman atas pemberian. Ini kufur nikmat.
Dalam tarbiyah kita belajar, bahawa rupa paras sebenarnya tidak menyumbang kepada iman. Iya, mungkin ada segelintir manfaatnya untuk agama. Misalnya, duta duta Rasulullah untuk menjemput kepada Islam selalunya terdiri dari orang yang kacak kacak belaka.
Cuma kecantikan bukan baja yang memekarkan akhlaq dan iman. Bahkan, ia satu kurniaan yang lebih nyata bersifat ujian.
Sepertimana yang kita ulang ulang dalam kisahnya Yusuf. Isteri Al Aziz berkehendakkan Yusuf. Yusuf juga berkehendakkannya. Namun beruntung Yusuf, dia teguh terbina dengan taqwa.
Juga sepertimana Nasr bin Hajjaj yang terlalu indah, hinggakan membuat anak anak gadis terbuai buai dalam angan dan syair syair memuja. Akhirnya, Umar mengambil keputusan untung membuang Nasr dari negeri itu, setelah usaha beliau membotakkan Nasr masih tidak berkesan.
Bukan salah Yusuf menjadi kacak. Juga Nasr pemuda soleh yang tidak pernah berdoa mendapat ketampanan.
Tapi ujian menimpa mereka atas kurniaan nikmat sebegitu.
Bezanya dengan kita, kita tidak sedar bahawa rupa paras itu ujian besar. Bahkan, ia pernah menjadi inti ujian para nabi.
---
Kepada ikhwah ikwah yang kacak,
merendah dirilah. Usah memikat wanita wanita yang tidak bersalah tanpa arah.
Kepada ikhwah yang tidak berupa, err seperti saya,
bergembiralah. Sekurangnya kita tiada ujian ujian hebat dari sudut ini.
"Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pulalah akhlakku."
(HR. Ahmad)
Ini doa cermin.
Setiap kali tengok diri sendiri, nabi suruh kata "..sebagaimana Engkau telah memperindah kejadianku..", bermaksud kita kena ada keyakinan diri dan self esteem.
Tiap seorang dari kita ini sudah sedia jadi indah. Kerana kita adalah manifestasi cinta para ibu dan para ayah.
Yakin.
Dan dengan keyakinan itu, kita menyebar akhlaq memikat buat manusia.
Hee.
-----------
"Wanita wanita Zulaikha melihat Yusuf, mereka terhiris jari
Jika mereka melihat Muhammadku, pasti mereka terhiris hati!"
No comments:
Post a Comment