Tuesday, April 2

"Secangkir kopi.."

Hari itu damai.
Alam seakan tersenyum gembira dengan terbitnya mentari pagi.
Burung burung sudah terjaga, lantas melagukan irama desa menghias sunyi.
Rerama juga ikut serta,
melantun lantun dari bunga ke bunga menyebar debunga bahagia.

Lelaki itu termenung sendiri.
Jenuh dia berfikir, apakah jawapan kepada masalah yang dia hadapi.
Berkali kali dia melafazkan kata lelah. Kadang kadang terpacul rungutan.
Namun bukan dirinya, mengalah sebelum ketemu satu jawapan.

Entah mengapa, semua jawapan dari detikan hatinya seakan tidak mampu mengisi kamar tanda tanya.
Persoalan sebegini bukan bergantung pada akalnya barangkali.

Dia melihat dari dekat, tasik yang berisi tenang. Jernih, suci tanpa cela.
Perlahan lahan, dia celupkan tangan. Ingin merasa kesegaran.

Dingin. Sejuknya sampai ke tulang.

"Mengapa aku rasa memandu manusia ini sangat derita?"

Dia cuba bertanya lagi. Kali ini mungkin dia tangisi hatinya yang asyik bertanya tanya.

Di kejauhan, ada sayup sayup mata yang mencuri curi memerhati laku pemuda itu, tanpa disedarinya.
Dia mengukir senyuman,
dan perlahan kakinya dilangkah untuk lebih hampir,
sedikit demi sedikit.

"Assalamualaikum. Apa yang memberati fikiranmu, anak muda?"

Fikiran anak muda yang sedari tadi belayar entah ke mana, terhenti.
Di hadapannya ada satu susuk tua, kecil sahaja, sambil memikul bebanan besar di pundaknya.

"Mungkin orang tua ini peniaga, mungkin dia berhenti sebentar mengambil nafas dalam kelelahan, 
seperti aku jua." 

Hatinya berkata kata menyedapkan perasaan.

Mata anak muda itu pantas meneliti. Kelihatan keringat berlelehan dari dahi si tua itu. Namun senyum manisnya tampak tidak penat langsung. Tiada resah.

"Waalaikumussalam pakcik. Sila duduk bersama.

Saya ini pakcik, sedang berfikir.
Saya ini seorang hamba yang berkelana. Tapi saya juga seorang daie yang menetap di satu kampung membimbing manusia.


Cumanya, 
semakin hari seperti hati saya sudah jemu dan resah.
Bila mereka terlalu payah untuk berubah. Dan bila mereka terlalu berharap harap kepada saya dalam semuanya."

Begitu tenang anak muda itu melepaskan kedukaannya. Mungkin kehadiran pakcik tua tadi betul betul untuk mengisi persoalan mindanya. Atau mungkin tenang pakcik tua tadi yang menenangkan hatinya.

"Anakku, ke sini", dia menyeru.

Diambilnya sebuah cangkir kayu, dari galasan belakang yang tadi dikendongnya.
Dia buka sebungkus serbuk hitam, harum semerbak menyegarkan. Kopi arabica.
Dari tasik jernih itu dia isikan cangkirnya, bersama serbuk kopi tadi dari genggaman urat tangannya.

Cangkir itu digaul gaul, di kacau kacau. Lantas diserahkan kepada anak muda itu, dengan sepenuh kerendahan.

Anak muda yang tadinya hanya memerhati, mungkin sedikit tertanya tanya, lantas menghulur tangan mesra dan cuba menemukan cangkir itu dengan bibirnya.

"Eww. Pahit!"

Pakcik itu hanya tertawa. Geli hati. Namun gelak tawanya seakan terselit siksa, dengan jasad tuanya yang sebegitu.

Dia ambil lagi segenggam serbuk kopi, lantas menyebarnya ke tasik di hadapan mereka.
Mengais dan mengacau limpahan serbuk itu dengan ranting ranting kayu.
Dia tunggu,
tunggu hingga satu masa debuan kopi itu samar samar terlihat dek mata.

Dan diambilnya cangkir itu tadi, diisi dengan air tasik pula.

"Nah, ambil dan minum ini. Adakah kepahitannya berbeda?"

Tentu sekali. Anak muda itu memahami. Diminumnya, dan lidahnya turut mengiya. Pahit umpama tadi telah tiada.

"Segenggam kopi ini tetap sama banyaknya.
Tapi kenapa anakku, ketika ia digaul
bersama cangkirmu, pahitnya jelas terasa?
Dan bila aku campurinya di tasik ini, pahit itu seakan pudar sekali?

Kini kau tahu anakku,
betapa pahit yang sama ini akan berbeda rasa bergantung kepada apa yang menampungnya.
Jika bekas itu sekecil cangkirmu,
apa yang kau rasa cuma kepahitan.
Namun jika luas tasik ini yang jadi tadahan,
maka sikit kepahitan pun takkan pernah kau rasa.

Begini juga selayaknya dada dada kita, penyebar seruan agama.


Kita berkenalan, sentuh mereka dengan lembut kata sapaan, curi hati mereka dalam ukhuwah yang teguh, tunjukkan kepada mereka aqidah dan akhlaq yang utuh,


akhirnya, apabila hati mereka sudah terbuka,

masuklah ke dalamnya 
dan sebarkan bahagia.

Dan sepanjang itu, sepanjang hari hari kita dan dia merasa cinta,

Kau kena selalu ingat yang engkau sedang memandunya ke syurga.
Maka terus semua bebanan bebanan jahiliyah, semua belenggu belenggu kebiadaban terhadap Sang Pencipta, segala rasa teragak agak dalam berangkat pergi,


Semua itu kau harus peduli. Semua itu harus kau kongsi. Kendong bebanan bebanan dia sama. Teman dia dalam perjalanan perubahannya. 


Kau tidak sesekali bisa memandu manusia dari belakang. 

Hanya yang kau bisa adalah berada di hadapan, lantas hulurkan tangan.
Atau terkadang kau bergerak seiringan, berpandang pandangan  dengan senyuman.

Untuk semua inilah anakku,

Cita dalam besarnya hati belum cukup bererti,
Kau perlukan dada yang lapang. 
Dada yang selalu senang.
Cukup agar cinta ini bisa bertebaran di lapangan nan terbentang.

Dada yang luas. 
Dada yang kukuh.
Untuk kau tampung mana yang lompong. Isi mana yang kosong. Teguh mana yang rapuh!


Kita berkerja, bukan sahaja menjaga iman kita, malah iman manusia sekitarnya.


Seperti mana kita dibawa telusuri jalan ini, mereka juga mengharap terpimpin dengan cinta yang sama.

Maka hatimu, minta diperteguh.

Maka sempadan dadamu, minta diperluas jauh jauh.

Bukan kita seistimewa Muhammad, ditatang sendiri oleh Ilahi, dipersiap seawal anak kecil tanpa dia ingini.




"Bukankah kami telah melapangkan dadamu?"


Al Insyirah : 1

Tidak anakku. Muhammad itu terpilih. Kita bukan dia.
Terlalu sempurna. 
Tapi Allah membekali kita dengan kisahnya Ibrahim, yang juga terabadi doanya


"Dia berkata 'Tuhanku, lapangkanlah dadaku.."

Taha : 25






Dan dengan du'a ini kita mengerti. Bahawa ini kerjanya nabi nabi. Kerja yang sama perlukan bekalan yang sama. 

Mereka ada hati yang jitu, mereka ada kesabaran yang padu, 

namun mereka masih perlu dada yang lapang 
agar bebanan terasa senang.

Isinya dengan cinta, tampung semua duka dirimu dan diri mereka. 

Kau tidak pernah akan rasa derita, asal dadamu cukup luas untuk menerimanya."


Anak muda itu tersenyum.
Agaknya dia sudah faham. Lantas dia bangun, menyapu seka air mata yang sedikit sudah kekeringan diubat dingin angin.

Mereka berpelukkan, sungguh anak muda itu rasa terhutang budi.
Dan dia beransur pergi,
meninggalkan pakcik tua itu sendiri.

Dan pakcik tua itu?

Dia juga meneruskan perjalanannya.

Bersama sisa kopi yang masih terbaki.

Buat bekal hikmah daie daie muda yang dia jumpa kemudian hari. Nanti. Lagi.




--
Yang dambakan kelapangan,

Ana akhukum fillah,
Adwa'.



No comments: