Saturday, June 22

"Menjadi seorang ayah.."


Detik itu.

Yusuf begitu teruja sekali ingin berkongsi apa yang dia mimpikan baru baru ini.

Walau seorang anak lazimnya berkongsi dengan ibu,
Yang secara semulajadinya lebih rapat,
lebih erat,
Namun Yusuf memilih untuk berkongsi dengan ayahnya,
yang juga seorang nabi.


"Ketika Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan..aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".

|Yusuf : 4|


Dia ketakutan saat itu. Keliru.
Hinggakan perkataannya juga terputus putus apabila ingin bercerita kepada ayahnya yang setia menunggu.

Yusuf perlukan pandangan yang matang, yang rasional.
Dan kerana itu Ya'kub menjadi tempat dia berkongsi apa yang terbuku.

Ya'kub,
Seorang ayah yang baik, yang tahu apa yang terbaik juga buat anaknya.
Disuruhnya Yusuf menyembunyikan nikmat mimpi yang baik,
Bukan untuk mendustakan nikmat,
namun demi berbagai maslahat.

Lantas Ya'kub,
terus membuktikan dirinya seorang ayah yang baik,

menyatakan setinggi tinggi harapan,
seluas luas sangka baik,
sehangat hangat semangat,
seterang terang panduan yang dia mampu
hanya kerana anaknya berkongsi satu mimpi yang Allah hadirkan.


Babak itu kita amati,

Dengan satu pesanan berharga Ya'kub buat anaknya Yusuf.


"Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. 

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".


|Yusuf : 6|



Itu saat yang berkualiti antara anak dan ayahnya. Ia saat terikatnya dua jiwa.
Saat paling berkesan buat seorang bapa menanamkan satu pegangan
buat anaknya yang pasti akan teruji.
Teruji itu kan hakikat seorang rasul dan nabi?

Hidup Yusuf kemudiannya naik turun dengan arus ujian.

Berita suka dan duka terselang seli dalam novel hidupnya.

Mungkin kalau mampu berkata kata,
gamis Yusuflah yang paling dahulu mengiya bahwa ia menyaksikan Yusuf hidup dalam seberat berat ujian.

Gamis yang dilumuri darah..
Gamis yang terkoyak kerana nafsu serakah..
Gamis yang menyapu lembut mata si ayah..

Betapa mencabarnya menjadi seorang Yusuf.

Tapi pengakhiran yang terbaik tetap jadi milik nabi itu.
Mimpi yang baik tetap terlaksana depan mata.




"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: 

'Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. 
Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. 
Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; 
dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. 

Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; 

sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."


|Yusuf : 100|


Yusuf,
Biar ditimpa berbagai bagai ujian turun naik kehidupan,
Masih mengingati pesanan ayahandanya di awal cerita kenabian.

Nasihat seorang bapa kepada anaknya.
Ia terpahat teguh dalam hati si anak, bertahun tahun,
membekali Yusuf dalam menempuh cabaran.

Al Quran merakam tepat bait bait kata Yusuf kepada ayahnya,
sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
mengulang tepat pesan amanah si ayah yang dia genggam kuat.

Ia terpahat teguh dalam hati si anak, bertahun tahun,
kerana ia pesanan seorang ayah buat anaknya.


Dan begitulah Ya'kub,
mengajarkan kita menjadi seorang ayah yang cemerlang.


--------

"Kalau adik adik kita tidak dapat merasa kasih sayang dan perhatian seorang ayah,

pastikan mereka rasa kita itu sebagai ayah.."

Seorang akh.





Dan rendahkan kepada mereka sayap kerendahan dan kasih sayang dan katakanlah..

""Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.""

|Al Isra' : 24|







2 comments:

Inspector Saahab said...

best. ana nk reblog bulih ?

:)
jzkk

Menang atau Syahid Adwa'. said...

boleh. bagitau dulu sape itu inspector sahab! haha