Friday, April 12

Sembunyi sembunyi



"Alhamdulillah baru sahaja menyampaikan ceramah sebentar tadi.."
"Syukur baru sahaja menjadi fasi kem bla bla"
"Penatnya. Turun padang dengan jentera mengundi. inilah perjuangan!"


Sahabat,
yang aku cinta,

Amal kita ini kan, tidaklah banyak mana.
Kalau bisa disukat sekalipun, pasti ia cuma umpama kapas kapas biasa.
Kalau ia berat sekalipun, mungkin ia penuh dengan compang camping cacat dan cela.

Adakah walau dengan amal yang sedikit itu pun mahu dijaja?
Adakah kebaikan yang sehari dua ini kita terbiasa,
mahu kita uli uli dengan perasa bangga?

Manusia yang sering menuturkan amalnya,ujar Sang Murabbi Rahmat Abdullah,adalah yang tidak biasa menghasilkan karya karya besar.

Selama ini dia selesa beramal kecil kecilan,
lantas bila diketemukan dengan satu peluang yang besar,
dia terkejut. Lalu berteriak menghebahkan. Membanggakan.

Sekali dua berceramah,dia rasa dialah paling petah.
Sekali menjadi fasi,dia rasa dialah paling berbudi.
Sekali memasang bendera,dia rasa dialah tunggak sesuatu parti.

Diceritakan amalnya beralas niat untuk berkongsi.
Kongsi itu mulia, saudara, aku fahami.
Tapi kau nampakkah,
betapa nipisnya sempadan kebaikan perkongsian dan buruknya natijah membesar diri bersama kebanggaan?
Itu syaitan yang menyedapkan hatimu, mewangikan nanah nanah busuk yang mencemar niat.

Jika kau rasa ia hanya sekadar itu,
berhenti lalu fikir lagi.

Syaitan itu tersangat bijak menyusun rancang.
Dia tahu anak Adam pasti tidak membuta menurut kemana yang dia halakan,
maka dia meninggalkan jejak jejak halus
sekadar lukisan tapak dan jejak atas debu debu kehidupan.

Buatkan manusia yang tidak peka hatinya,
menderap betul betul atas khuthuwat yang hina.

Kadang kadang sangat terperinci berkerja.
Dia membuat kita bercerita amal amal itu
terselit dalam perbualan biasa.

 "Semalam sesak betul di Highway Karak"

"Kenapa, kau kemana semalam?"

"Erm. Aku turun padang jadi jentera mengundi. Biasalah dari duduk rumah,
beramal kebajikan sikit kan?"

Teliti, si syaitan itu mengilhamkan jalan jalan perbualan
Kau wujudkan bahan bual bicara agak manusia bertanya apa yang kau kerjakan.

Maka kau berbesar hati, gembira,
kau tidak segan menerangkan.

Sambil hatimu terbaki riak, tersisa bangga.

Atau mungkin, situasinya begini.
Ketika dalam perkongsian, dengan semangat kau memberi taujihat

"Orang islam kena hebat. Banyak membaca. Al Quran jangan tinggal. Sehebat mana pun kita,
mesti kena mampu menangis di hadapan Allah! Infaq separuh dari gaji kita! Tidur sehari sejam dua!"

Hebat gayamu ketika itu. Cukup dasyat. Telinga yang mendengar juga hingga menyapa mata dari dihinggap rasa ingin lelap.
Kau melaungkan idea diluar jangkauan orang kebanyakkan, sangat berat.

Cumanya,
dalam hatimu ada detikan kecil.
Kecil namun seakan akan bergema laungan kebesaran,

"Akulah lelaki itu. Biar mereka tahu aku bercakap lantang sebegini kerana aku bisa buat seruanku sendiri.
Biar mereka tahu bagaimana amalku, dan seterusnya contohi aku. Pasti sekarang kamu tahu beginilah amal caraku!"

Mungkin terkadang ia jadi keterlaluan, untuk menggesa manusia beramal luas batasan kebiasaan.
Tapi dengan detikan takabbur itu, kau pilih untuk lantang serukan,
agar mereka tahu yang menuturkannya mampu sehebat itu.



Astaghfirullah.Astaghfirullah.Astaghfirullah.

Inilah api api yang membakar amal kebaikan.
Menusuri jalan kehidupan sambil terpijak langkah langkah syaitan, dan akhirnya
yang kita ketemu bukan jalan bahagia, malahan jalan derita.

Yang lebih malang, kita mungkin hanya sedarinya bila sudah berpenat lelah sampai di hujungnya.

Di akhirat nanti,
ketika kita lihat manusia sesama ditimbang amalnya dengan Al Mizan.
Dan juga pasti kita punya debaran
menerima dan ditontonkan dengan buku amalan.

Apa agaknya yang kita harap terisi dalam buku itu nanti?
Pasti yang mampu untuk menyelamatkan diri kita. Mampu buat bayar ke syurga.
Mampu buat lepas dari belenggu rantai berhasta.

Ketika itu mungkin yang kita harapkan
adalah amal amal dakwah dan tarbiyah, yang seumur hidup kita perjuangkan. Semua langkah ke usrah, daurah, katibah,
kalau mampu semuanya kita ingin persembahan.
Buat bela diri yang kita telah mencuba amal sebaiknya. Buat sedap hati yang kita layak jadi tetamu jannahNya.

Tapi saat itu mungkin kita terkejut sekali,
kerana lihat amal amal yang kita harapkan itu,
seperti debu debu, hangus tidak dikira.

Ia telah dibakar dengan sum'ah, riak, ujub, takabbur dan niat kita yang salah di dunia.

Apalah yang kita harapkan lagi? Apalah yang tinggal buat diri?


Kita selalu ingat, cerita dari nabi.

3 golongan neraka yang mendahului.

Alim', yang menyangka ilmunya untuk ibadah siang dan malam hari, namun sebenarnya dia hanya mahu dipandang berilmu.
Dermawan, yang teringin selalu hubung silah dan bersedekah, rupanya hanya mahukan dirinya dipandang pemurah.
Syuhada', yang tegas sekali berkata mahu terbunuh kerana agama, rupanya hanya mahukan dirinya dipuji atas keberanian.

3 golongan ini yang awal sekali tercampak ke neraka.
Mereka ini hebat hebat.
Bahkan mungkin sekali tempat mereka ini jadi cita cita setiap dari kita.

Tapi sehebat mereka ini,
mereka juga tertipu dengan diri dan amal sendiri?
Walau tegas mereka hujahkan di depan tuhan apa yang mereka sangka mereka niatkan,
Namun Allah pasti lebih mengetahui.

Dan malangnya,
detik kebenaran itu hanya terjadi nanti,
di saat tiada lagi jalan kembali.

Sekarang bukan saat itu,
lagi.
Sekarang masa untuk memperbaiki amal dan hati.

Benar, amal yang baik itu atas kesahihan syariat.
Juga, amal yang baik itu dari hati yang ikhlas.

Ikhlas itu satu jalan,
di mana hanya Allah jadi tujuannya.
Bukan diri, bukan kebesaran.


Tangisi amal sekarang.
Biar kita sedar.
Moga air mata itu membasuh api api bangga diri.


"..Liwajhillah.."






No comments: