Friday, January 18

Tangga kedua.


Dengar tajuk sahaja sudah menyampah, ya?

Sungguh saya kurang gemarkan polemik sebegini.


Asal ikhwah bercakap soal BM, maka banyaklah suara suara menyindir, menegur dan memperlekehkan.

Kononnya setiap kali bercakap soal ini, ia menandakan kelemahan. Jiwa seorang lelaki yang terawang awangan. Atau mujahadah yang gagal dalam menjauhi perempuan.

Polemik sebegini yang buatkan orang seperti saya kebuntuan.

Kalau saya tidak keterlaluan, saya sudah katakan bahawa inilah punca ramai ikhwah yang bermalas malasan.

Adakah dengan cuba membincangkan dan mengaut sebanyak mungkin pengalaman dan cerita dari ikhwah lain itu melemahkan? Bertanya bagaimana mereka bertaaruf, keluarga berkenalan, menguatkan hubungan sepanjang pertunangan?

Sesuatu itu melemahkan kalau ia menjauhkan kita dari tuhan. Mengalih fokus kita dari perjuangan.

Tapi kita kena terima hakikat, bahawa lambat laun kita akan hadapi juga benda ini semua.

Dan mengelat mengelat sebegini tidak akan membantu. Ini juga yang aku nampak bezanya ikhwah akhowat.

Ikhwah kurang cakna dengan isu rumah tangga. Sedangkan akhowat sangat berkira kira.

Jika pengemudi satu bahtera itu sendiri kurang tahu dengan sifatnya samudera, apalah lagi dengan kelasi kelasinya.

Sampai satu masa nanti, bila umur meningkat, harinya makin dekat, barulah tercungap cungap cuba menyiapkan diri dengan ilmu ilmu sebegini.


Semuanya kerana "Aku tidak bersedia".


Entah sampai bila mahu jadikan "aku tidak bersedia" itu sebagai satu alasan.
Mungkin itu alasan paling mudah untuk mengambil jalan pelepasan?


Mungkin.


Yang saya pasti, ramai jadikan belum cukup sedia ini sebagai alasan,
walhal diri sendiri tidak begitu jelas dengan apa yang jadi ukuran.


Ya, apa yang mengukurnya?


Sudah tentu ukurannya seperti biasa; bagaimana mutabaah amalnya, bagaimana pembangunan diri dengan muwassofat, bagaimana akhlak dan adab dengan insan sekeliling, bagaimana sudut ekonomi dan penerimaan keluarga.


Tiada salah pada ukuran. Semua jelas dan setuju.


Cuma bagi saya, masalahnya timbul dari hati si pengukur.

Kalau diri sendiri masih mahu menidakkan, masih mahu terperangkap dalam escapism, sampai bila pun kita akan menafikan kesediaan diri sendiri walaupun apa yang kita rancangkan sebagai ukuran sudah kita capai.

Kita tahu bagaimana diri sendiri dalam tarbiyah.

Adakah masih berpura pura? Beriman bila bersama ikhwah dan encik naqib sahaja, namun mula meliar bila berseorangan. Bertaqwa bila di bi'ah selesa sahaja, namun berlengahan bila bersendirian di kediaman.

Lihat diri sendiri. Buat penilaian.

Maka disaat itu Allah akan menghantar rasa ketenangan hati. Berbisik dari hati,

"Aku sudah bersedia."


Berdamailah dengan taqdir.



Ya Khaliq,
Aku wakilkan hidupku ini kepadaMu.
Usah kau serahkan diriku, kepada diriku walau sekelip mata.


Aku, yang menasihati diri sendiri,
Adwa'.