Thursday, December 5

Hujan, jawablah.




Hujan.

Selalu titisan jernih itu turun, membawa doa doa para hamba naik
Menuju langit, bukti kehambaan.

Mungkin kerana itu, Rasul dahulu menyapu nyapu mukanya dengan air hujan. Diajarinya kita doa


"Allahumma sayyiban nafian".



-Tuhan, jadikan hujan ini bermanfaat.



Datang dengan lafaz doa itu adalah sepatutnya sangka baik dan harapan akan nikmat tuhan, 
pemberian langit yang dinanti nanti makhluk bumi. Pesta nikmat yang juga datang dengan luasnya pintu doa
mengerah hamba berlumba lumba meminta minta dari tuhannya.

Namun menafsir hujan sebagai nikmat yang mutlak, tidaklah tepat.

Kerap juga nabi kita berubah muka tika langit menghitam, awan sarat berarak memadam cahaya mentari.
Lalu sang nabi terketar ketar, wajahnya berubah.

Dia teringatkan pembalasan tuhan ke atas ummat terdahulu. 

Dia arif, bahawa hujan tidak semestinya tanda nikmat. Kadangkala ia musibah yang menghukum ummat.

Siapa sangka,
titis titis air berharga itu menjadi bencana? Hujan yang dinanti nantikan tanaman? Dirindui binatang binatang sekawanan?

Mungkin itulah sangka baik ummat Nuh di awal cerita. 

Mereka pasti tidak menyangka bah besar itu berlaku sebegitu rupa.





(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari ketuhar di muka bumi, Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.


| Hud : 40 |



Dari celah celah bumi, terkopak tanah yang mengeluarkan api.
Seperti ketuhar yang membakar. Ia membakar.

Lalu dari kepanasan sebegitu, air datang memancut mancut. 

Memancut mancut.

Hingga bah. 
Hingga tenggelam puncak tinggi. 
Hingga tenggelam anak nabi.


Sifirnya masih sama, kini.

Hujan itu masih titis titis kebaikan, yang turun dalam kadar yang maklum.

Cuma atas apa ia menjadi nikmat atau musibah, adalah atas bagaimana kita menjawabnya.



"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

|Al Baqarah : 156 |



Jawablah begitu, saudaraku.

Aku tahu, kau tahu.




--

Doa untuk saudara saudara kita di Pahang.

Bertabahlah.

Allah hitung tiap saat kita menelan pahit ujian.







Mendoakanmu,

Adwa'.






No comments: