Friday, November 8

Iman yang terukur di jalanan: Saya hampir mati!

Malam itu,
Saya pulang lewat seperti biasa. Walau hujan agak lebat yang mengaburi mata, namun badan yang sudah lelah untuk dipaksa paksa, saya mengambil keputusan untuk meredah sahaja jalan raya itu.

Ketika ini, saya masih bekerja di sebuah kilang jepun di Pulau Pinang.
Normanya; saya penat bukan kerana berkerja, namun penat nak mencari ada apapa lagikah kerja yang ada untuk saya.

Saya membuka helaian baju hujan yang sedia mak lipatkan untuk saya (sayang mak), terus menyarungnya dan memecut laju.

Entah kenapa malam itu, saya rasa nak tergesa gesa. Kebiasaannya, dalam apa apa perjalanan saya akan membaca doa perjalanan, doa tolak musibah dan murajaah hafazan sambil berlagu lagu ketika menunggang hehe.

Tapi malam itu tidak.

Apa yang saya ingat di fikiran saya, adalah pesanan mak

"Jangan bawa laju laju moto tu.."

Sebagai seorang engineer, saya punya cara sendiri untuk menafsir pesanan mak.

"Laju itu kan relatif. Bergantung pada siapa yang menilai," bisik hati saya. "Pada mak mungkin 100km/h itu laju, pada Safee Sali yang menunggang mungkin tidak.." (dialog tambahan sedapkan cerita huhu)

Dan begitulah, saya terus membelah angin malam chewah.

Tiba tiba, saya terlihat satu batang besi yang besar, sebesar tiang rumah orang dulu dulu gitu.
Besi itu terbaring melintang di laluan motosikal. Dalam kegelapan malam dan hujan lebat yang menghalang pandangan, saya tidak dapat mengesan besi itu hingga betul betul dihadapan mata saya.

Lalu saya merempuhnya.

Jasad saya terlambung seperti orang main rodeo. Motorsikal hampir terlepas dari tangan.

Saya tahu, jika saya ditakdirkan melambung ke arah kanan, mungkin itu penamatnya bagi saya. Sebelah kanan saya cuma ada lori lori besar yang tidak pernah henti henti berlumba. Jatuh di sisi itu mungkin mengakibatkan saya menjadi patty burger sahaja.

Jika saya ditakdirkan jatuh ke sebelah kiri, maka kawasan berumput di bahu jalan mungkin akan buatkan saya hilang keseimbangan dan terlanggar besi penghadang jalan. Kemungkinan saya akan merempuh terus penghadang itu heads on.

Dalam hati, hanya mampu menjerit.
(Ok tak islamik sangat patutnya berdoa ke ape kan)


Dan Alhamdulillah, setelah melambung tinggi umpama kuda perang betina yang menyerbu ke arah musuh,
akhirnya saya dapat mengawal kembali motorsikal saya biiznillah.
Perlahan lahan saya menekan brek dan cuba untuk berhenti. Masih tercungap cungap, masih terketar ketar ketika itu.

Saya turun dari motorsikal dan memeriksa jika ada apa apa kerosakkan. Alhamdulillah, semua bahagian tubuh saya masih bercantum. Cuma kedua dua tayar motorsikal saya pecah meletup pom.

Nak tak nak, saya terpaksa mengheret motorsikal saya sementara mencari laluan keluar dari lebuh raya. Rasanya seperti Bruno Mars yang menarik piano dalam hujan dalam video klipnya Grenade. Cuma bezanya saya berjaket hitam, menolak motor yang pecah sambil istighfar tak sudah dalam hati.

Sungguh bertuah, saya mampu hidup lagi. Alhamdulillah. Thummalhamdulillah.

Beberapa minit selepas itu, barulah saya sampai di laluan keluar lebuh raya. Bertanya kepada abang jurutol, beliau berkata bahawa bengkel yang terdekat hanyalah dalam jarak masa beberapa ayat Al Quran perjalanan (ok  ni saya buat sendiri).

Bertuntun motor, akhirnya saya sampai di bengkel yang dimaksudkan. Sekali lagi Allah memberi bantuan; bengkel itu hampir sahaja tutup untuk operasi. Mujur saya sempat sampai beberapa minit lebih awal.

Ketika taukeh itu menukar tayar motorsikal saya, ada seorang pakcik india menghampiri. Dia hairan dengan saya yang kelihatan sangat letih.

Saya terus sahaja menceritakan pengalaman saya sebentar tadi tanpa diminta. Cerita dan cerita macam syok sendiri pulak kan haha.

Tapi pakcik itu tekun mendengar.

"Awak tahu, sayalah yang berhenti memungut besi itu tadi."

"Eh, pakcik ke laa."

"Iya. Saya berhenti tepi jalan, stop dan letak besi tu ke tepi. Entah nanti akan ada lagi orang accident macam u..", katanya.

Saya sangat terharu mendengar penjelasan pakcik itu. Terharu yang amat sangat hingga saya bercadang untuk melaporkan semuanya kepada mak huhu. Entah entah dia risau. Pakcik itu melihat sahaja saya menelefon mak dan bercerita sungguh sungguh seperti perserta pertandingan bercerita ada gaya tangan bagai.

Usai perbualan, pakcik itu kembali bertanya.

"U orang solat ka?"

"Mestilah saya solat pakcik", jawab saya. Terkejut juga mendapat pertanyaan sebegitu kan?

"Saya hairan, kenapa orang yang solat pun tak berhenti pungut besi tu dan buang dari situ? Tak fikirkan orang lain? Kan besi tu membahayakan..", jawab pakcik itu, lebih kurang.

Saya terketar mendengar jawapan pakcik itu.

Perlahan lahan air mata tumpah;
bukan semata dek kepenatan, namun kerana apa yang terluah dari mulut pakcik itu tadi.

Ini adalah tarbiyah Allah, yang Allah hadirkan seorang india untuk mengajarku.

"Saya minta maaf, pakcik.."

Itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Saya masih sebak dengan pengalaman malam ni. Tambah lagi dengan naqib baru india saya ni yang memberi tazkirah terpanah ke hati.

Begitulah.

Antara kisah kisah yang saya benar benar hargainya, sebab tak semua orang akan lalui benda yang serupa.

Mendapat kebasahan hati di tengah tengah hujan lebat, dan akhirnya terpukul dengan teguran yang berat.

Betapa manusia lupa.

Jika ditaqdirkan, saya akan berjumpa dengan pakcik itu lagi, saya akan mengucapkan terima kasih padanya. Dan mendoakan agar dia terpimpin dalam hidup beragama.

Terima kasih pakcik,

Kerana mengajarkan saya cabang cabang iman atas kejadian kehidupan.



"Iman itu ada 70 cabang. Yang paling utama adalah Lailahaillallah. Dan yang paling rendah adalah membuang duri di jalanan.."





Iman yang terukur di jalanan.

Aku masih mahu jadi hamba tuhan, pakcik!

2 comments:

aimiazmi said...

Ibrah : tarbiyah Allah bukan atas Muslim sahaja. Jzkk akh :)

IW said...

lama benar pena cryano tak beraksara baru
and next taim tggu hujan reda dulu.baru gerak deh