Tuesday, April 9

"Tarbiyah kita sama, tapi.."

"InsyaAllah, untuk program ini semua kena infaq RM10."

Kata seorang naqib kepada anak anak usrahnya.

Maka seorang demi seorang
menyeluk kocek, menggagau sedalamnya
mempersembah jumlah yang diminta.

Semua muka selamba.
Rata rata tak perasan, ada seorang dalam kegelisahan.
"10 ringgit ini hanya yang aku ada untuk aku makan..", bisik hatinya sayu.
Tapi dalam keberatan, dia masih gigih menyua sekadarnya
sambil sembunyi resah dalam senyuman.




"Apalah orang itu. Tengok movie movie lagi. Kata daie. Kata perang jahiliyah, tapi dalam diam simpan cinta? Ana mudah je tinggal movie, hidup je"
Kata seorang akh kepada akhnya. 
Akh itu diam sahaja mengangguk setuju. 

Orang tidak tahu, 
bahawa dia juga masih begitu.
Dia suka movie, menemannya ketika sunyi. Jadi hiburan bila berduka, jadi teman hias ketawa.

Tapi kerana dia daie, dia tahu itu satu sakit yang perlu diubati.



***

Boleh jadi kan, ikhwah,

Satu benda yang sama kita lalui bersama sama ikhwah kita,
tapi berhasil menjadi tarbiyah yang berbeda buat mereka yang diujinya.
Infaq harta mudah bagi mereka yang senang, tapi jangan harap senangnya sama buat mereka yang tiada banyak harta.

Meninggalkan jahiliyah dan dosa itu mudah buat mereka yang langsung tidak biasa, tapi satu mujahadah besar buat seseorang yang telah lama menyimpan cinta.

Ya, padahal ia benda yang sama menimpa kita, bersama sama. Sehari hari.

Namun hasil tarbiyahnya berbeza sekali.

Apa yang aku dan kamu dapat tidak akan selalu sama.
Yang ini sangat menguatkan aku, mungkin kau hanya biasa biasa.
Yang itu padaku seperti tiada apa apa, namun bagimu ia satu peluang kelahiran semula.

Tarbiyah ini mengajar kita, ikhwah,
Supaya mengenali satu satu hati yang ditarbiyah. Secara akrab dan terperinci. Dari luarnya hingga ke dalam isi.

Tarbiyah itu memenuhi apa yang kita perlu. Apa yang kita kurang.
Dengan syarat, kita cari ibrahnya dimana dengan akal yang sentiasa bertimbang timbang.

Maka untuk bekalan kita,
kutiplah pengajaran dari tiap celahan kehidupan, walaupun ia tampak sangat biasa.
Kita mahu terbina, kita mahu terus maju dalam gerabak tarbiyah.

Kita duduk dalam halaqah ini, beriman bersama, 
tidak semestinya kita berjalanan seiringan ke syurga.

Kita saling merendah diri, menginsafi hati setiap hari,
tak semestinya tinggi rendahnya sama di tingkatan syurga nanti.

Buat kerja jamaie, tapi kita masih dihitung secara peribadi.

Lantas,

muhasabah itu sentiasa,

lebih lagi ketika bersunyi.




No comments: