Saturday, April 6

Mencela kegelapan.


Dari dulu lagi, ia selalu menjadi perdebatan.

"Adakah lawan cahaya itu kegelapan? Bolehkah mereka menjadi seteru?"

Cahaya itu ada satu kewujudan.
Ia melambangkan kebaikan, eksistensi hidup yang terus menerus memancar.
Ia metafora ilmu dan kepanduan.

Justeru, apa pula kegelapan?

Kegelapan bukan sebenarnya satu entiti, apatah lagi mahu bertentangan.
Ia bukan satu kewujudan.

Ia sebenarnya adalah satu ketiadaan. Satu ketidakhadiran.

Ketiadaan cahaya yang menerangkan.

Satu satu ruangan, adakah ia suka kegelapan? Pasti tidak.
Mungkin ia masih menanti nanti satu cahaya kehangatan.

Dan kamar kamar hati manusia, sering kali dipadankan dengan gelap atau terangnya cahaya iman.

Aku mahu melihat manusia sebegini dengan nada kasihan.

Mereka masih teraba raba dalam gelap. Dalam ruangan yang tiada cahaya.
Mereka cuma tidak sedar mereka perlukan lilin kebenaran,
kerana gelap itu sudah cukup terang bagi mereka.

Sekurangnya,
mungkin begitulah yang mereka rasa.

Tapi saudara saudaraku, kau mencemuh mereka yang masih membuntu dalam gelap,
bukan kau nak hulurkan tangan.

Pastinya, cemuhan itu bukanlah senada kata puitisku. Katamu lebih sinis, menghiris.


"Oh tak nak pakai tudung ke? Bajet hot? Neraka lagi hot! Boddo macam lembu!"

"Oh pegang tangan berdua? Mintak kena jirus dengan air panas ni. Baik pegang babi!"


"Belajar tinggi tinggi tapi solat jenazah ibubapa sendiri pun tak tahu. Baik tak payah belajar!"



Aku lihat renungi apa yang kau tuturkan.
Tapi tolong jelaskan padaku, mengapa kau hingga berkata demikian?

Kau tahu apa firman tuhan Musa bila berhadapan dengan Firaun?
Ya, perhatikan.

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya."


 "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".



|| Taha : 43-44 ||


Musa ini lebih mulia dari kita, Firaun pula lebih hina dari mereka.
Namun Allah masih menyuruh para anbiya'nya, pada du'atnya supaya lembut berbicara.

Kata kata yang lembut.

Sehari lagi dalam tarbiyah, kita didik,
untuk berbicara lembut memimpin manusia.

Tak perlu mencela kegelapan sahaja. Tidak.

Islam ini, Yusuf Al Qaradawi berbicara, mengajarkan aku menyalakan lilin di saat manusia yang lainnya mencela cela kegelapan.

Bawa sumber cahaya. Bergerak.
Dudukmu juga satu cela,

kalau kau terlupa.






No comments: