Pernah saya terfikir,
"Alangkah mudahnya hidup ini tanpa dakwah dan tarbiyah, kan?"
Terlalu ideal jika mahu berhujah dengan premis itu, namun pada satu sudut, ia adalah kenyataan.
Tidak perlu berjaga malam ke usrah. Tidak perlu membahagi masa membuat persiapan, membaca tafsir, mengolah perkongsian, mengambil cakna isu semasa, mendoakan ummah, bermuayasyah.
Bukankah lebih mudah jika baik baik sendiri?
Tidak perlu bersusah payah memperjuangkan semuanya. Duit tidak terbuang, masa banyak tersisa.
Kita boleh berbahagia bersama keluarga, membina kerjaya, mengejar harta demi harta.
Rasa bahagia?
Iman,
ia terukur dengan setabah mana kita melalui ujian dari tuhan. Jika hidup hamba itu seperti gerabak, maka iman itu yang memandunya. Jika lakaran rencana dunia seperti kapal, maka iman adalah nakhodanya.
Iman akan datang bersama ujian yang berat untuk membenarkannya, kerana hanya itu yang membuatkan iman berharga. Itu yang membezakan manusia.
Maka perlukah manusia ini merayu rayu meminta ujian berat bagi menyubur kehidupan, membesar iman?
Tidak sama sekali.
Malah Rasul mulia mengajarkan kita untuk memohon ujian ujian yang kecil, yang tertanggung setiap jiwa jiwa kita. Dia mengajarkan kita, bahawa kesusahan itu bukan dipinta pinta.
Mehnah akan berhimpit himpit di celahan hidup bila kita sudah sedia untuk diduga.
Ujian ujian berat akan datang bila iman kita cukup matang.
Dan sunnatullahnya, hidup akan lebih susah dengan dakwah dan tarbiyah.
Seperti mana Bilal, yang takkan pernah diletak batu besar di atas perutnya jika dia tidak beriman dengan risalah ini.
Sepertinya Sumayyah, yang mungkin akan terus menjadi hamba kegemaran tuannya jika dia tidak tersentuh dengan kalimah kalimah surah Dhuha yang lembut yang membelai jiwa.
Atau umpama Musab, yang mungkin terus dengan kekayaan dan ibu kesayangan jika dia tidak bersama baginda dalam memperjuangkan risalah kenabian.
Begitulah.
Hidup pasti akan lebih mudah tanpa dakwah dan tarbiyah.
Cuma mudah itu tidak indah. Mudah itu terlalu mudah.
Tanpa ujian, aku tak tahu apa gunanya iman.
Sebagaimana kita telah berjanji,
bahawa dakwah dan tarbiyah itu nadi.
Sebati.
Jika dakwah tarbiyah dan kerjaya saling menuntut janji, pasti kerjaya yang kita akan ketepi.
Jika isteri dan anak anak lebih kita cintai, pasti dakwah dan tarbiyah yang kita susun semula sebagai prioriti.
Aku sangat bahagia, hidup susah.
0302am.
Usai usrah.
Usai menolak motorsikal 3.6km di tepi lebuh raya,
sambil berjubah, seorang diri,
bersama sekeping hati.
No comments:
Post a Comment