Tuesday, August 27

Dari Safa ke Marwah; aku akan terus berlari!



Ibrahim itu tabah,
meninggalkan anak isteri di padang pasir kontang tanpa manusia, hanya menyerahkan isteri dan anaknya semata kepada Allah.

Dia tahu, Allah pasti tidak menyiakan mereka.

Dalam keadaan sebegitu, masuk akal jika seorang ayah seperti Ibrahim risaukan penerusan hidup ahli keluarganya.
Namun lihat apa yang dia tuturkan;





"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur."

|Ibrahim : 37|


Dalam keadaan sesetengah manusia mungkin sudah hilang punca, bimbang dengan kesinambungan kehidupan, Ibrahim lebih mementingkan ibadah keluarganya yang dia tinggalkan.

Suami yang yakin akan taqwa isterinya, pasti akan dihadirkan Allah bantuan dalam harapan.



Tapi Siti Hajar tidak kurang tabahnya.

Dia sang isteri yang percaya tindakkan suaminya, dan beriman bahawa Allah tidak mempersia, apatah lagi membiarkan mereka dalam kesusahan.

Dia sang isteri yang teruji dengan kekhuatiran terhadap anak kecilnya, tangis tangis kerana lapar dan dahaga.

Dan dia jugalah sang isteri, yang diabadikan pengorbanannya sebagai syiar Ilahi.





"Sesungguhnya 'Safa' dan 'Marwah' itu adalah sebahagian dari syiar Allah, maka sesiapa yang menunaikan Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

|Al Baqarah : 158|


Berlari lari anak, dari Safa ke Marwah, dari Marwah kembali ke Safa,

Mungkin antara keberatan meninggalkan Ismail yang masih dalam sedu, dan titis air yang masih belum bertemu.

Tapi Allah tak pernah menyiakan mereka,

Rupanya air itu terpancut dari kaki kecil Ismail sahaja.
Di bawah hentakkan tumit si kecil tercinta.



"Ah, perlukah Hajar berusaha? Sia sia! Air akan terpancut dari kaki Ismail juga. Hanya tunggu dan doa."




Bukan begitu.

Usaha Hajar itu adalah sebahagian dari syiar Allah.

Usaha dan ikhtiar, sambil itu bertawakal.

Lalu yakin, bahawa Allah akan bukakan pintu keluar dari jalan yang tidak kita sangka sangka,
mungkin dari hentakkan kaki si anak kecil.

:)




Malam ini, aku teruji.
Sedih, penat, pasrah.



"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sesuatu dari perasaan takut dan  kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar"

|Al Baqarah : 155|



"Bisyaiim minal" bermaksud "Dengan sesuatu dari..".


Allah sebut kalimah ini, adalah untuk biarkan kita rasa beban ini ringan. Ia membuatkan sesuatu itu dirasakan sedikit.

Dan bila Rasulullah dan para sahabat awal dahulu teruji dengan berat, Allah masih memberitahu bahawa Allah akan uji 'sedikit' sahaja.

Dan ketika mujahideen Syria, Palestin dan Misr teruji dengan gentingnya, Allah masih berpesan bahawa hanya 'sedikit' yang mereka rasa.

Malam ini, ketika aku menghadapi ujian, Allah juga berpesan kepadaku,
bahawa yang aku hadapi ini sekelumit cuma.



Entah apalah yang Allah aturkan buatku.

Tapi aku akan pegang syiar Safa dan Marwah itu;
Usaha ikhtiar, dan tawakal.

Dan aku bersangka baik, bahawa air pasti akan mengalir dari tempat yang aku tidak sangka!




Allahul Musta3an.






-

Post sangat random. Entah tak tahu nak tulis apa. Cuma sedapkan hati. Yang ada cuma aku, dan Quran.


-


1 comment:

Anonymous said...

menunggu entri baru MASA