Manusia itu ada masanya mudah berbangga dengan nikmat.
Bila dapat sesuatu, kita rasa kitalah yang paling beruntung.
Kitalah yang terpilih.
Bila dianugerahi sesuatu,
kita fikir kitalah yang paling akrab dengan si pemberi.
Hingga kadang kadang mudah kita tergelincir dari batasan.
Kita mula berbangga dengan taburan nikmat yang dimiliki, walaupun kita hanya dapat atas nasib baik dan untung sipi sipi.
Kita mula lupa yang kebanyakkan nikmat itu tidak pernah kita minta, cuma ia dihulur dihadapan kita.
Akhirnya, kita terus tergamak mencemuh mereka yang tidak diberi nikmat yang sama.
Iya, sungguh.
Malah ia terjadi dikalangan daie sendiri.
Tak percaya?
"Tak perlu jadi macam Si Mamat tu. Keyboard warrior. Status sedap sedap gempak, kerja tak jalan. Dakwah perlahan"
"Apa lah jadi baik sorang sorang sahaja. Kita kena jadi daie lah, bukan sekadar orang soleh beriman sendiri sendiri!"
Begitu nada nada yang sering terpacul walau dari mulut kita kita sendiri, yang mengaku ditarbiyah ini.
Sekadar memberi beberapa contoh,
bebas untuk kita mengaitkan keadaannya dalam apa juga keadaan harian kita.
Namun itulah, isinya tetap sama.
Tetap juga kita meremehkan mereka yang tidak dikurnia nikmat serupa kita.
Ikhwah, yang ku cinta.
Melangkahnya kita ke dalam gerabak dakwah dan tarbiyah ini, sekaligus terbukanya peluang untuk kita membaiki diri, mencari kebaikan, menabur pengorbanan dan menebar kasih sayang. Kehidupan kita masing masing terus berubah, tatkala kita dan tarbiyah mencipta janji untuk setia.
Sehari demi sehari, ada sahaja sudut dalam dakwah ini yang kosong, dan acap kali kita diberi peluang untuk mengisinya.
Tapi ikhwah, kalau kita bisa berhenti sebentar, dan renungi semua itu tadi.
Pernahkan sebelum kita disapa tarbiyah, kita terdetik hati untuk bersungguh sungguh memintanya?
Pernahkah ketika kita masih tidur dalam kehidupan, tiba tiba kita menangis mahu dihadirkan keinsafan?
Sangat jarang ikhwah. Malah mungkin sesekali tidak pernah!
Yang lebih kerap, dakwah itu sendiri yang hadir mengapa hati hati kita saat kita terleka.
Yang lebih acap, adalah tarbiyah itu sendiri memujuk mujuk kita untuk kembali beriman ketika kita sedang lena.
Yang lebih biasa, adalah naqib naqibah yang berusaha keras memujuk kita kembali hidup beragama walau puas kita tolak dan menjauh di awalnya.
Tanpa kita meminta, hidayah Allah datang menyapa, lantas mendakap tubuh kita dalam bahagia.
Kita sangat beruntung ikhwah, Allah sudi melembutkan hati kita menerima nikmat ini walau kita tidak pernah meminta.
Namun apa nasib mereka di luar sana? Yang masih belum dihadirkan sapaan Islam yang sama?
Ironi, di sebalik kealpaan mereka itu, kita masih gemar merendah rendahkan mereka, ya?
Seperti kita menyubur sum'ah dalam diri, sedangkan keistimewaan itu bukan anugerah yang kita pernah minta.
Astaghfirullah.
Dalam tarbiyah, kita diajarkan untuk menjarak dengan amal amal sebegitu. Amal malas, amal bersenang lenang, amal pasif.
Namun tidak sesekali kita memandang rendah pelakunya.
Sesama manusia, kita perlu rasa kitalah yang lebih hina.
Aku sangat terkesan dengan kisah Rahmat Abdullah, yang terabadi dalam buku Episode Cinta Sang Murabbi.
Ketika memberi kuliah tafsir di bulan Ramadhan, beliau telah memuji anak anak muridnya.
"Antum orang orang yang menjalani sunnah, saat sebahagian besar meninggalkannya. Ana sendiri tidak bisa ikut iktikaf seperti antum. Makanya, dibanding antum semua, ana sih diem aja (Sambil menunjukkan badan tanda rendah diri)"
Semua di situ tersenyum simpul.
Mereka sekadar duduk beribadah di masjid, tidak banyak berkorban kudrat.
Namun semua sudah maklum, tokoh dakwah seperti Rahmat Abdullah tidak pernah duduk santai.
Dia berdakwah merata rata mengislahkan manusia,
lantas tak hairanlah dia tidak mampu duduk diam beriktikaf dalam masjid sahaja.
Namun, dia masih mencari cari kebaikan manusia, walau kecil,
dan mengangkatnya tinggi,
lebih tinggi dari apa yang ada pada dirinya.
Indah,
bagaimana islam membina peribadi insan yang tinggi untuk setia menyanjungi semua kebaikan yang ada pada manusia.
Teliti peribadi peribadi sebegini,
yang mengajarkan kita erti kerendahan.
Terpilihnya kita dalam tarbiyah hanyalah sekadar satu keuntungan, yang entah pernah atau tidak kita usahakan dengan perjuangan.
Syukur dengan nikmat tarbiyah,
adalah dengan terus berkongsi rasa mahu beriman.
Bukan dengan cara merendah manusia, apatah lagi mengejinya.
Moga pesan ini buatku juga.
Dan moga dakwah ini, terus kerana cinta.
1 comment:
:)
Post a Comment