Menarik bagaimana Allah aturkan hidup ini.
Menarik apabila kita diberi peluang mengenali
dan mengagumi satu sosok yang mengesani hati hati,
hanya setelah dia pergi menemui Ilahi.
Sedetik babak kematian itu akan jadi peringatan,
Satu tamparan untuk kita berhenti sejenak
dan menghargai seumur hidup kita yang telah Allah kurniakan.
Dari kecilnya,
kita semakin dewasa,
matang seiring dengan usia.
Bersama umur itu adalah nikmat Allah yang tak terdaya kita kira.
Bersama setiap hela nafas seorang hamba itu adalah penjagaan Allah terhadap hambaNya.
Dan selama panjang hayat itu juga
kita telah diberi peluang untuk mengatur cara kematian kita.
Bila kita yakini bahawa kematian itu adalah satu pertemuan,
antara kita dan tuhan,
maka apa yang kita mahukan adalah saat yang penuh kegembiraan.
Kalau benar kematian itu adalah pengharapan kita untuk satu pertemuan,
maka Allah akan mengatur pertemuan itu bersesuaian dengan bagaimana gigihnya kita
berusaha untuk menyintaiNya di dunia.
Umpama pertemuan sepasang kasih,
Walaupun hakikatnya kasih sayang Allah tidak akan pernah diukur dengan segala galanya.
Dia kaya dengan cinta. Dia pemiliknya.
Allah sangat mengetahui hati kita.
Detik kematian yang indah itu,
Angan angan dan cita cita bukan bahan yang membuatnya.
Detik detik kematian yang indah tidak akan pernah dicipta dengan fantasi fantasi.
cara kematian tidak akan pernah dibina dengan bata bata angan angan.
Kalau kehidupan itu adalah satu nikmat yang Allah kurnia sama rata, kematian pula adalah seperti
aturan Allah yang bersesuaian dengan bagaimana kita menggunakan nikmat yang sebelumnya.
Kematian itu adalah satu penutup, kesimpulan dari satu hayat.
Justeru ia satu penutup yang membuka kehidupan baru di akhirat.
Ia satu detik singkat yang mewakili seluruh corak kehidupan,
bagaimana baiknya hayat kita susun dan isikan.
Ada insan yang hidupnya sendiri adalah islam.
Pengorbanan dan derita dalam memperjuangkan agama bukan lagi satu pilihan,
malah ia telah membumi dalam jasad dan sanubari, hidup dalam darah dan daging pendokongnya.
Dakwah dan tarbiyah itu tidak lagi bisa dicerai berai, ia sudah sebati bersama.
Maka dengan cinta itu,
detik detik kematiannya Allah zahirkan walaupun semasa hayatnya.
Seperti pemuda badwi di zaman baginda nabi, yang benar dengan niat dalam perjuangannya,
"Aku tidak menginginkan harta wahai Rasulullah. Aku berperang ini kerana mahu panah musuh ini
menusup betul betul di sini"
Sambil menunjukkan ke arah halkum nya. Pemuda itu tegas sekali menolak hak harta ghanimah demi menjaga niat sucinya.
Dan kerana kebenaran itu, Allah memperkenankan permintaannya.
Panah itu, tertusuk dalam menembusi halkum, lantas menyaksikan syahidnya seorang yang benar penyaksiannya.
Zaman menyaksikan,
bahawa cita cita kematian itu bisa ternyata
jika ia terpacul dari bibir bibir yang benar tanpa dusta.
Seperti Umar yang berdoa mahu syahid walaupun ketika itu para sahabat lainnya tertanya tanya, apakah dengan keamanan dunia Islam dibawah pemerintahan Umar ketika itu membolehkan beliau syahid?
Ternyata, kematian Umar juga menyaksikan syahidnya seorang yang benar kesaksiannya di tangan Fairus, Abu Lu'luah.
Seperti Dr Abdul Aziz Rantisi yang bertegas dengan niatnya
"Tiada apa yang berubah dengan kematian disebabkan sakit jantung atau Apache."
"Dan aku", tegas si syahid itu,
"memilih Apache."
Ternyata, kematian Dr Abdul Aziz Rantisi juga menyaksikan kebenaran syahadah yang beliau bawa.
Pejuang itu bertemu dengan Ilahi kerana serangan Apache.
Mereka ini benar kesaksiannya.
Tulus niatnya.
Dan kerana itu cita cita kematian mereka ternyata.
Mungkin itu sebenarnya bahan yang membina cara kematian;
kehidupan yang benar terhadap satu kesaksian.
***
Kematian adalah sesuatu yang sangat pasti.
Dan aku,
Aku sering menyelitkan harapanku dalam satu kepastian itu.
Semoga kematianku nanti kematian yang menghidupkan.
Semoga kematianku nanti membuktikan bahawa sedayanya aku berusaha mengota satu kesaksian.
Kematian adalah sesuatu yang sangat pasti.
Dan aku,
Aku sering menyelitkan harapanku dalam satu kepastian itu.
Semoga kematianku nanti kematian yang menghidupkan.
Semoga kematianku nanti membuktikan bahawa sedayanya aku berusaha mengota satu kesaksian.
2 comments:
salam, jazzakallah, sebenarnya ssya tahu ada typo tapi malas nak betul kan.
Blogger from I'm just a small creature 'it' this whole wide world.
Kullu nafsin zaaa iqotul maut ...
Syukran akhi adwa.semoga Allah redha
Post a Comment