Saturday, February 23

Belajar memandang kehidupan.



Saya rasakan hidup ini seperti novel. Kadang kala. Berjalan atas takdiran pena penulis, hidup dengan berbagai peristiwa setiap hari setiap ketika.

Manusia dituntut untuk mengejar kesempurnaan, walaupun penulisnya tahu manusia tidak akan bisa pernah sempurna. Dengan mengusahakan kesempurnaan dalam setiap perkara, sebenarnya kita sedang berusaha meraih cinta yang esa.

Manusia diperintah untuk mengumpul ajr dan menjauhi dosa, walaupun hakikatnya natijah setiap perbuatan kita telah lama tersedia.

Manusia diberi pilihan untuk cenderung kepada amal maksiat atau kebaikan, memilih langkah ahli syurga atau neraka yang kita jejakkan, meski syurga itu pasti buat mereka yang hadir dalam hatinya walau sekelumit iman.

Semua itu sebahagian dari kisah kehidupan. Tugas kita mudah, teruskan jalan cerita ini dengan watak yang Dia mahukan. Namun kadang kala cerita kehidupan itu sangat menguji. Takdiran baik buruk datang berselang seli.

Lihat sahaja kisah terbaik yang Allah ceritakan, perihal Nabi Allah, Yusuf.

Pemuda yang kacak dari keturunan nabi, mendapat mimpi baik petanda kenabian, akhirnya dicampak ke dalam perigi kerana hasad saudara sendiri.

Dalam perigi jauh dengan kehidupan, bertemankan gelap gelita dan binatang binatang bahaya, namun diselamatkan oleh para pedagang dan mendapat perkerjaan.

Mendapat pekerjaan dan perlindungan di tempat yang selesa, bersama majikan yang baik, namun teruji dengan ujian wanita hingga disumbat ke penjara.

Dalam penjara yang dirasakan buruk dan menyempitkan, namun diberi kenikmatan dakwah kepada teman teman, akhirnya dilepaskan dan dijadikan pembesar kota.




"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya."

Yusuf : 3.



Oh sebak rasa. *Kesat hingus sambil tengok jeling kiri kanan*


Seindah indah kisah. Diperakui oleh 'penulis' itu sendiri. Seindah indah kisah dimana setiap kejadian baik dan buruk terlalu nyata berselang seli. Tidak putus putus kehidupan Yusuf itu teruji dengan siri kesedihan dan kegembiraan.

Kerana itu para ulama' berkata,



"Andai kamu sedih, bacalah surah Yusuf.."



Benar, membandingkan dugaan hidup kita yang tidak seberapa dengan kisah hidup Nabi Yusuf yang penuh cabaran dan drama akan menguatkan kita. Buat kita rasa satu masalah itu bukan apa apa.

Dan untuk kita, bukanlah kita minta jalan cerita yang sama seperti Yusuf. 

Cukuplah jika kita mengerti dan meredhai takdir sepertimana baginda tunjuki.
Maka apa sahaja yang bakal dan telah kita lalui itu juga adalah yang terbaik, kerana ia diatur oleh perancang yang terbaik. 
Mustahil sebaik baik perancang itu tersalah aturannya, bukan?


Allah sedang berbicara kepadamu Fahri. Sabar dan ikhlas. Sabar dan ikhlas.


Yang masih cuba meredhai taqdir
moga sekental Yusuf,

Adwa'.