Friday, February 22

Lebih susah dari susah.




Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.



Al Baqarah : 61.

Dalam ayat ini, setelah Allah menyelamatkan Nabi Musa dan kaum bani Israel dan kezaliman dan keganasan Firaun, maka mereka terpaksa hidup dalam keadaan yang sederhana. 

Ada ahli tafsir yang mengatakan bahawa sayur sayuran, timun, bawang putih dan kacang dal itu adalah makanan lazim mereka ketika menjadi hamba kepada Firaun. 

Walaupun dengan rahmat Allah yang telah mengasingkan mereka dari satu kesengsaraan, masih ada sesetengah dari kaum bani Israel yang merindui gaya hidup mereka yang lama walau penuh kesempitan.

Dan disini, jawapan Nabi Musa boleh dilihat dari dua sudut;
turunlah ke bandar kerana makanan makanan itu amat mudah didapati, 
ataupun Nabi Musa menghalau sesetengah dari kaum ini kerana tidak mampu bersyukur walaupun Allah telah menyelamatkan mereka.

Begitulah.

Amat lazim, ketika nikmat nikmat yang Allah kurniakan itu bertali arus tanpa putus, manusia menjadi selesa lalu terlupa membayar harganya.Keselesaan itu membuatkan kita lupa bahawa hamba bukan layak untuk meminta minta. Apatah lagi berlagak tuhan.

"Aku mahu begini. Aku tidak mahu begitu. Semua mesti begini.."

Disebabkan kesusahan yang sedikit, manusia terkadang berkira kira untuk berubah, walaupun dia sedari hakikat dirinya yang sempit.

Sungguh, berubah itu lebih susah dari susah.

Maka ramai manusia yang memilih untuk kekal dalam keadaan dhaifnya diri sekarang ini, umpama merinduikan makanan makanan lama mereka walaupun terpaksa kembali ke kota dan kembali menjadi hamba Firaun yang zalim.

Merindui keselesaan lamanya yang tidak seberapa.
Menyayangi bebanan bebanan lama walaupun kurniaan Allah yang membebaskan jiwa ada di depan mata.

Kecintaan kepada karat jahiliyah yang mengaburi mata melihat nilai sebenar kurniaan Allah.
Bagaimana Allah memilih kita untuk naik ke bahtera dakwah ini, menyelamatkan kita dari alpa,

Namun kita tak henti henti mendustakan terpilihnya kita dengan dakwah ini dengan meninggalkan dakwah itu sendiri.

Mungkin perlu bertanya kembali, bagaimana Musa menegur bani Israel dengan pertanyaannya,





 "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? "






1 comment:

aimiazmi said...

susah tak susah, kita kena paksa diri untuk berubah. thanks for the entry. touched so much. may Allah blessed.