Tuesday, May 29

Ukur baju raya.


Tak lama lagi nak raya. Oh ha ah puasa pun belum -_-

Saya pasti hampir semua orang akan beli baju baru nanti kan? Semua nak nampak encem dan ayu kan?

Cuba fikir jap. Bayangkan kalau kita mahu menempah baju raya baru. Bajunya untuk kita, namun kita sukatnya dibadan adik kita yang berumur 5 tahun. Maka pasti baju itu tidak mampu untuk berperanan sebagai baju yang sesuai untuk kita bukan?

Begitu juga dengan kehidupan dan amal seharian kita wahai insan.

Kita mungkin mengukur tarbiyah Al Quran itu dengan helaian helaian kitab yang kita bacakan. Masa berdamping dengan Al Quran kita luangkan hanya dengan satu tujuan; khatam bulan ini.

 Maka berlumba lumbalah manusia menghabiskan satu dua juzuk sehari untuk matlamat itu, tanpa rasa tersapa untuk mengukur sejauh mana ayat ayat itu ditadaburi dan mengubah diri!

Mungkin juga kita mengukur solat solat kita dengan sekadar bilangan rakaat semata mata. Kita petah dalam soal solat bila sudah mampu mendirikannya di masjid. Kita tambah pula dengan solat solat sunnat rawatib, tahiyyatul masjid dan awwabin yang kita lazimi.

Kalau begitu ukurannya, tak hairan jika seusai solat kita sudah terlentang dihadapan televisyen menonton filem filem asyik tanpa rasa bersalah, atau masih lagi bercakap kasar dengan ibubapa kita, atau masih lagi tidak peka dengan sumber sumber makanan syubhah.

Solat yang diguna untuk menyirami ruangan rohani, hanya terenjis di luaran jasad, terpedaya kita dengan hitungan bilangan rakaatnya.

Juga ketika berpuasa, pengertian yang tinggal pada rata rata orang dewasa ini hanyalah 'menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari'. Puasa sudah tiada beza dengan budaya 'mengambil sarapan awal dan melewatkan makan malam!'.

Jika mekanisme puasa disandarkan dengan hanya 'menjauhi perkara perkara harus buat sementara waktu', maka natijahnya, tiada ruang untuk kita berusaha untuk menundukkan pandangan, mengurangkan percakapan sia sia, menjauhi perkara lagha, mengisi waktu dengan haknya dan lain lain, atas dasar taqwa.

Disisi lain, bukan hanya ukuran amal yang sering bertemu ralat, namun prinsip prinsip hidup turut disalah erti.

Misalnya, berapa ramai insan yang mengukur ukhuwah dengan perasaan 'sekepala'. Bila sudah mampu bersembang dengan rancak, seorang buat kelakar seorang lagi gelak, atau sudah mampu bersetuju dengan isu isu semasa negara, maka ukhuwah sudah terlaksana.

Maka nanti satu masa, ikatan ikatan 'ukhuwah' ini barangkali akan terisi dengan kata mengata, umpat mengumpat, berburuk sangka dan kebencian, jauh sekali untuk ber'itsar' dalam kehidupan.

Kesimpulannya, raya nanti ukurlah baju di badan pemakainya.

3 comments:

Khuzayma said...

Memula baca tajuk ingatkan adwa sudah mengukur baju untuk hari raya.

habis baca entri terasa macam disiram air sejuk rasanya.

yap,memang ramai insan yang mengukur ukhuwah dengan perasaan 'sekepala'.sedih bila mengenangkan.T_T

Anonymous said...

emm, kalau bukan 'sekepala' mcmamana?bukankah 'sekepala' itu salah satu faktor merapatkan ukhuwwah? or 'sekepala tu tak sama dengan 'sefikrah'?minta pencerahan.. jazakallah khair.

Menang atau Syahid Adwa' said...

ukhuwah didasari iman.

sekepala didasari minat yang sama, atau pemikiran yang sama, kecenderungan yang sama, atau apa apa sahaja yang buatkan kita bertemu titik persamaan.

mungkin juga pertolongan atau amal kebaikan yang kita lakukan kepada manusia lain didasari dengan fitrah kita untuk tolong menolong, bukan ukhuwah kita yang menggesa itsar.