Monday, February 13

Pesan kepada diriku dan dirimu.



Ikhwah,

Aku menulis kerana aku sangat menyayangimu. Aku menulis kerana ini pesanan untuk diriku dan dirimu. Aku memperingatkan kerana kita sama sama dambakan syurga. Aku takut kita lupa yang kita mahu tatap wajah Allah azza wajalla.


Ikhwah,

Amal jamaie dan haraki telah meluaskan medan amal fardhi kita. Amal kita tidak lagi hanya solat, puasa, mengaji kitab kitab dan seumpamanya. Kita dianugerahkan lapangan yang lebih luas untuk menabur jasa. Kita sudah mula menyentuh hati hati manusia dengan wasail tarbiyah kita. Kita berjumpa dan berkenal kenalan mereka yang sama sama melangkah dalam jalan ini dan mengajak manusia lain umumnya untuk turut serta.


Apakah yang lebih baik dari ini?


“Katakanlah: “Inilah jalanku, aku menyeru manusia kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan yang jelas nyata, aku dan orang-orang yang menurutku”.

(Yusuf 12:108)

Namun ikhwah,

amal amal jamaie kita tetap dinilai dengan diri kita sendiri.Dalam kita beramal jamaie dan berada dalam kafilah dakwah, bukanlah bermakna kita sudah mendapat tiket sehala ke syurga. Tidak semestinya ikhwah kita ikhlas berprogram, kita ikhlas sekali. Tidak semestinya amal mereka terhindar dari rasa takabbur, amal kita juga suci.

Janganlah kita cepat berpuas hati, memandang kemajuan kolektif usrah kita yang semakin meningkat, tapi lupa dengan diri sendiri yang belum pasti meningkat sama. Bila kita naik mustawar, atau diberi tanggungjawab besar, kita gah mengakui kehebatan yang sebenarnya fatamurgana. Lihat ahli ahli usrah kita semakin rancak, kita hanya tumpang bersandar atas kemajuan mereka.

Dan akhirnya langkah kita semakin perlahan, tatkala mereka deras di lapangan.


Ikhwah yang disayangi kerana Allah,

Kebanyakkan dari kita masih berada di IPT. Tak lama lagi, kita akan berhadapan dengan mehnah yang besar, tak ramai orang yang bertahan dengannya.

Ya, kita akan berkerja, kemudian beristeri dan beranak pinak InsyaAllah.Sering kali kita diperingatkan bahawa fasa ini sangat menguji, bukan sedikit mereka yang gugur dari jalan ini. Ada yang dulu rancak berprogram, akhirnya hanya disibukkan dengan bisnes, tiada masa berusrah, berdaurah dan mukhayyam. Ada yang dahulunya sangat selalu menziarahi mad'u, akhirnya hanya berkepit dengan isteri dan anak anak.

Kita sedang bercakap mengenai musibah besar. Bukan hanya tsunami, gempa bumi atau bah. Ia lebih berbahaya dari itu.

Kita bercakap tentang diri kita yang diberi hidayah, tapi kemudian kita menolaknya. Kita nafikan nikmat tarbiyah dan dakwah.

Kita berpuas hati hidup bersama keluarga tanpa perlu banyak berkorban harta dan tenaga.Tidak gementarkah hatimu wahai ikwah?


Wahai ikhwah tersayang,

Pandanglah teman teman kita dengan pandangan kasih sayang. Tatap wajah mereka dengan hatimu. Rindu mereka dalam doa Rabithahmu. Bahagianya kita berkongsi suka duka dalam tarbiyah, tak semestinya kita bahagia sama semasa menerima buku amalan. Kita duduk bersama sama dalam halaqah, tak semestinya kita duduk di tingkatan syurga yang sama!

Maka apa yang dinilai kembali kepada amal dan hati sendiri.



Semester terakhir sebagai pelajar, insyaAllah.
Mohon doa agar terus thabat.
Sangat risau jika aku yang berkata kata tapi aku yang gugur dahulu.

Selamatkan aku, wahai Khaliq.




Li wajhillah,

Menang atau Syahid Adwa'.




1 comment:

Huwaina. said...

jika nanti mula terasa benih-benih futur mula menyemai dalam diri...tataplah kembali pesanan ini...