Monday, February 13

Hanya pinjaman.


Seorang akh pernah berkongsi ceritanya.

Ada di sebuah hospital, seorang doktor dan daie yang sangat qowiy insyaAllah. Dalam banyak banyak kes yang pernah beliau kendalikan, ada satu kes melibatkan satu pasangan suami isteri ini yang menjadi ingatan.

Anak mereka, seorang gadis yang sangat comel, perlu dibedah berikutan satu penyakit. Sebelum pembedahan, doktor telah mengingatkan kepada kedua ibu bapanya bahawa peratusan pembedahan ini berjaya adalah kecil sama sekali. Mereka redha dan berserah kepada tuhan.

Semasa pembedahan dijalankan, kedua ibubapa itu hanya menunggu diluar tabir sambil tidak putus putus berdoa dengan sepenuh harapan. 

Apa yang menimbulkan persoalan pada doktor tersebut adalah, sesekali si ayah datang menjenguk anaknya yang sedang dibedah, dan kemudian berkata "Sayang, ingat ya?" kepada si isteri.

Begitulah kelakuan si ayah berulang kali.

Akhirnya selesai pembedahan, doktor menyampaikan berita bahawa anak gadis mereka tidak dapat diselamatkan.

Maka berkata si ayah tadi kepada zaujahnya yang setia di sisi,

"Sayang, ingat ya. Sudah sekian lama Allah pinjamkan anak kita kepada kita. Kini Allah mengambil kembali miliknya. Apa layaknya kita menangisi dia yang sekadar pinjaman dari Ilahi? Usah menangis. Dan ucapkan Alhamdulillah."