Monday, April 15

"Islam bukan sekadar itu.."




"Guru..!"

Satu suara memecah kedamaian.
Suaranya padu, hingga jasad tua itu turut terkedu.
Hari biasa,
hanya dia seorang yang mahu menghabiskan masa di masjid ketika ini,
melazimi membaca tafsir dan kitab kitab hikmah ketika dhuha.
Tapi hari ini dia dikejutkan dengan suara muda yang kuat sekali mengganggu tenangnya.

Insan tua itu perlahan lahan berpusing mencari punca kata sapa.
Badannya turut serta mencari hala si empunya suara.
Tubuhnya uzur sudah, mungkin sama umur dengan pakaiannya yang kelihatan sama dimamah zaman.
Dan jubah lusuh itu, masih tampak kemas, walau tepu dengan debu debu.

Perlahan, si tua itu terus mencari.
Biji matanya dikecil besarkan ,berganti ganti; tanda dia sedang mengukur ukur daya lihatnya.
Jenuhnya dia meneliti!

"Assalamualaikum guru. Saya mahu bertanya!"

Akhirnya pemilik suara itu di depan mata.
Dari kejauhan dia sebenarnya berlari lari anak menghampiri susuk tua tadi.
Wajahnya manis, tampan, walaupun ada tanda resah resahan.

"Guru. 

Aku mahu mengenal agama. Gambarkan aku agama itu apa?",


anak muda itu menyuarakan persoalannya.
Dari riak mukanya, jelas dia begitu bersungguh sungguh memaknai apa yang tersorok di hati.


"Anakku.

Agama kita, Islam, adalah satu cara hidup. Ia meliputi semua aspek kehidupan. 

Dari sebesar besar pemerintahan negara, hinggal sekecil kecil membuang hajat."

Si tua itu menyampai hikmah.
Dia tenang sahaja, dia sudah biasa menjadi rujukan tetangga,
malah di kampung itu dialah yang paling terisi ilmu agama.

"Di hujung kampung ini, ada beberapa kelompok manusia. 

Pergi ke sana, 

duduk satu kumpulan manusia yang menjadikan Islam sebagai bahan bicara, 
lalu ceritakan kepadaku nanti apa yang kau dapati."

Anak muda itu, walau masih celaru,
namun pasrah menuruti tiap arahan guru barunya itu.

Dan dia kembara.

Hingga dihujung kampung, betul betul di sempadannya, dia lihat ramainya manusia sedang rancak bermesyuarah.
Pakai mereka kemas, bau mereka indah, wajah mereka hanya dihias dengan senyuman puas.
Jelas sekali,
mereka sangat teruja sedang mereka berbincang bincang dan bertukar idea.

Anak muda itu menghampiri satu golongan, dan bertanya apakah yang sedang mereka bincangkan.

"Kami membincangkan ekonomi negara kita. Sistem sistemnya, apa kesilapannya, apakah masa depannya. 
Kami juga membincangkan ekonomi negara negara lain, juga ekonomi dunia."

Dia lantas mengundur diri, lalu menghampiri kelompok yang satu lagi, bertanya soalan yang sama.

"Kami sedang membincangkan soal politik, bagaimana kotornya politik sekarang, di negara.  Jijik, sempit, menyesakkan jiwa.
Tapi kami juga memikirkan solusinya, bagaimana sumbangan kita ke arah membersihkan politik semasa.."

Seakan tidak puas hati mendengar jawapan itu, dia justeru bergerak lagi menghampiri kumpulan yang lain.
Mahu bertanya lagi, barangkali.

"Kami ini sedang membincangkan soal rumah tangga, hak asasi manusia, dan bagaimana taraf wanita. Kami memikirkan solusi kepada hal hal yang jadi terpecahnya institusi kekeluargaan dewasa ini.."

Anak muda itu menggeleng kepala. Akhirnya dia mengampiri satu kumpulan lagi, dan bertanya perihal yang sama..

"Kami ini sedang berbicara tentang soal feqah. Masalah hukum hakam yang selalu kita hadapi seharian. Kami juga 
bermuhasabah sirah sirah para anbiya' dan manusia sekitarnya. Kami selak juga tafsir dan syarahan hadith hadith baginda.."

Anak muda itu diam.
Lalu bergegas dia berlari, ke arah mana yang dia datang tadi.
Termengah juga dia, tapi dia gegas berlari penuh gagah.

Akhirnya dia mendapatkan gurunya yang masih menanti. Kepulangan anak muda itu hanya dia sambut dengan senyuman,
riak mukanya seolah tahu apa yang bakal pemuda itu ceritakan.

"Guru, aku telah berlari ke hujung kampung, mengikut arahanmu.
Aku telah berjumpa dengan beberapa kumpulan anak muda, seperti gambarmu.

Namun yang memeningkan aku, kau menyuruhku memilih untuk bersama mereka yang berbicara soal Islam,

maka aku tidak tahu aku harus sertai yang mana, 
kerana semuanya sama, tekun berfikir untuk agama"

Guru tua itu lantas meletakkan tangannya ke bahu anak muda tersebut, sambil memeluknya.

"Nah,
Kau dalam diammu, sebenarnya tahu agama itu apa..

Islam itu syumul, sempurna. Dan muslim itu sepatutnya memperjuangkan Islam yang sebegitu dalam hidupnya.


Ramai orang yang menyangka, Islam itu sekadar persoalan hukum feqah dan fardhu ain, mengaji tafsir dan hadith, membaca sirah dan meratib.

Tidak. 


Islam itu mengutamakan seluruh hidup kita. Tidak layak Islam itu digelar satu agama, kalau ia

hanya bertumpu kepada satu sudut ukhrawi semata, membincangkan soal ibadah, dosa dan pahala sahaja.

Seorang pemikir islam, Hassan Al Banna pernah berkata,


'Muslim kena berfikir tentang soal ekonomi, politik, sosial, sebagaimana beratnya dia memandang dan berfikir tentang ibadah dan hukum hakam'


Aku sangat lega kau sebenarnya mengerti, duhai anak muda. 


Maka teruskan mencari, kita berbagi makna.


Islam itu syumul, 

kita tidak mahu rumah rumah Allah disalah guna dan jadi tempat mengubur kesempurnaannya.

Di saat manusia menentang pemisahan agama, masih ramai yang memisahkan agama dalam diri sendiri, bahkan dalam perjuangan mereka.

Kita insafi, anakku, 
dan terus buatkan diri terisi, agar kita bisa mengisi."




No comments: