Saturday, May 25

Rejuvenasi.



Salamun 3ala manittaba3al huuda.
 
Sejahtera atas kamu yang mengikut petunjuk selurus lurusnya, sedamai damainya.
Puji tuhanmu untuk itu.


Sudah lama rasanya tidak menulis sesuatu dalam blog ini. Sungguh.
Banyak yang mahu dicoretkan, banyak yang mahu dirakam.
 
Satu satu masa,
rasa ilham datang mencurah curah. Sayang sekali curahan itu terbazir kerana kealpaan diri membekali bekas untuk menampung manfaat.
Satu satu masa yang lain,
Rasa akal ini kegersangan, tidak mampu berkongsi apa apa. Melilau lilau aku mencari,
di mana dia aku tercicir jiwa.
 
Mujurlah lembaran lama blog ini kekal ada.
Jejak kembali apa yang telah ku kongsi,
Sedikit demi sedikit aku kembali yakin bahawa yang menulis ini
adalah jari jemari yang sama.
 
 
Meski;
 
Hati penulisnya tika itu sarat cinta, hati penulisnya tika ini kebas dari rasa!
 
 
"Sesiapa yang menulis ini kerana ia jihadnya, maka dia akan berusaha menulis meski berdarah darah.."

Ujar seorang penulis yang ku hormati.
 
 
Iya,
Hidup ini terlalu biasa jika kita mengaturnya biasa biasa.
Namun sebagai orang yang ditarbiyah,
Kita diajar untuk memaknai hidup dengan menyelitkan semaksima unsur mujahadah dalam tiap bab kehidupan.
 
Makan;
Walau mampu, jangan pilih yang mewah. Cukup sekadarnya, kuantiti dan rasa.
Di situ letak jihadnya.
 
Tidur;
Walau penat, jangan berlebihan. Cukup sekadarnya, rehat jasad dan jiwa.
Di situ letak jihadnya.
 
Beribadah;
Walau terasa kering, jangan berkurangan. Cukup sekadarnya, namun perbaiki kuantiti dan kualiti.
Di situ letak jihadnya.
 
Dan banyak lagi bab bab kehidupan..
 
 
Mukmin yang peka,
dia arif akan hakikat kehidupan ini yang mesti selalu terselit unsur mujahadah.
Tanpa bingkisan ini, hidup mendatar tidak bermakna apa apa.
Tanpa sulaman ini, 
tulisan juga kekeringan sekadar menjadi redaksi abdi jejari yang puitis bahasanya.

Indah, namun tidak membawa makna. 

Dalam, namun amal tidak terbina lantasnya.
 
 

--

Masa yang panjang telah berlalu.
 
Dan manusia,
terperangkap di dalam makhluk Allah yang bernama masa ini,
Menuruti tiap tiap kemahuannya yang terizin dengan taqdiran Allah.
 
Muda menghampir tua. Tawa berganti suka. Cantik menjadi jelik.
 
Paling aku khuatiri,
Lamanya masa kita ambil untuk senyap dan bertenang diri,
Akhirnya ketemu titik noda dan keras hati.
 
 
 


"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang panjang maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik"
 
|Al Hadid : 16|
 


Haih.
Allah, anugerahkan aku hati yang baru.
 




Tekad,
 
Biar aku menulis kembali.



No comments: