Sunday, March 10

"Meski kau sekadar pembancuh air.."



Tarbiyah ini ada kalanya seperti balapan perlumbaan. 
Para daienya bermula pada garisan yang sama, tahap yang serupa. 
Masing masing menuju ke hadapan, bercita untuk tamat di garisan.
Sedikit demi sedikit, mula memecut laju. 
Sepanjang perlumbaan akan ada babak babak ketinggalan, tercungap cungap mencuri nafas lelah.
Juga akan ada terisi babak kemegahan, melangkah dengan bergaya, jitu dia melangkah.

Dalam tarbiyah pasti ada perlumbaan.

Dan jangan risau, itu maksudnya tarbiyah itu berjaya. 
Beramal itu satu perintah, namun berlumba dalam beramal juga adalah salah satu kata sifat yang terkepil bersama.

Biah yang hidup akan terus menyubur perlumbaan ini. Jejakkan kaki sahaja di medan amal, harusnya halatuju para duat terus bertukar 


"Bagaimana aku mahu menyumbang lebih? Bagaimana? Apa ruangnya?"



Bila langkah ikhwah kita semakin laju berderap, langkah langkah kita akan bergerak sama.
Bila ada antara kita tercungap, semua akan sedia menunggu untuk kita kembali, dengan penuh setia.


Itulah sinergi tarbiyah. Ia saling memajukan.


Mungkin akan ada ikhwah yang menonjol lebih dari yang lain kemudiannya. 
Barangkali bila medan amal lebih terbuka untuk dia, atau mungkin bila kita yang semakin kerap menyempitkan medan kita,
Maka akan ada jurang antara ahli usrah.

Akh itu kelihatan lebih mantap, maju dalam memberi. 
Kerja dakwahnya memerlukan dia mengisi program program daurah, nadwah, memandu adik adik, dan kerana logamnya, dia sentiasa menjadi hero pilihan dalam mengisi bahan. 
Bijaknya dia dalam berkata kata dan pandainya dia menarik minat mad'u membuatkan dia sentiasa mendapat posisi yang lebih memerlukannya kehadapan.

Di sudut lain, tidak semua daie yang dibekalkan dengan kebolehan seperti itu. 
Umpama Musa punya limitasi ketidaklancaran bertutur, kita juga sama. 
Dengan kelemahan sebegitu, dakwah lebih memerlukannya di ruangan teknikal, 
berkerja disebalik lindungan tabir. 

Tapi kerana dirasakan sempitnya medan amal, akh itu kelihatan semakin perlahan,
mungkin hingga terpaksa sekadar bergayut di rapuhnya dahan kefuturan.




Ikhwah,

Iri hati dalam beramal itu adalah perkara biasa. Malahan ia terpuji, sekiranya dengan rasa itu manusia lebih berusaha memperbaiki amal, kualiti dan kuantitinya.

Namun satu perkara yang harus kita sedar,

Dalam dakwah ini tiada satupun amal ikhlas yang tidak dikira.

Meski kau sekadar supir yang mengangkut adik adik menuju ke air terjun untuk rehlah bulanan.
Meski kau sekadar tukang bancuh air untuk santapan adik adik ketika otak mereka gigih berkerja memahamkan bahan daurah yang rumitnya keterlaluan.
Meski kau sekadar tukang lap talam setiap kali usai masa makan.

Terkadang,
Amal yang gah di mata manusia itu tidak semestinya gah pada pandangan Allah, dan amal yang remeh di mata manusia mungkin sekali jadi asbab kita ke syurga.

Fikirkan sahaja, amal kecil kecil belakang tabir itu lebih sejahtera untuk kita. Kurang ruang menyubur riak. Kurang berharga untuk jadi modal cerita cerita. Boleh jadi amal semacam itu yang terlonggok jadi mahar untuk kita ke syurga.

Senyum.

Maka ikhwah,
tolonglah berhenti berkira kira.

Kata Syaikh Tarbiyah Rahmat Abdullah, Sang Murabbi,



"Dakwah ini seperti butik baju. Yang orang lalu lalang nampak hanyalah baju cantik cantik yang diperagakan. Namun disebalik itu, ada tukang tukang jahit yang berkerja keras menyiapkannya."



Tukang jahit yang selalunya menahan kantuk menyiapkan tempahan. Kadang kala jari tertusuk jarum tajam. Kadang kala terlalu rumit sampai rasa nak pitam. 

Biar manusia tidak tahu keberadaan kamu. 
Biar mereka kagum dengan indahnya busana busana menjamu mata. 
Biar mereka tertanya tanya siapa gerangan penjahitnya.
Dan biar dia, akh itu,
tersenyum sambil terus berkerja.

Dia biar nama penjahitnya satu rahsia,
antara dia dan tuhannya.

Terus tampal kelopongan ummah ini ya?
Kerana upahnya syurga.

Biiznillah.



Mahu jumpa kamu di sana,
Adwa'.


1 comment:

Cik Imia said...

Hukhukhuk, touched.