Wednesday, March 20

Mengapa tulis malam malam?


Sering kali saya rasakan bahawa tulisan itu mampu membuat manusia beriman.
Semangat yang lemah mampu kembali gagah dengan tulisan.
Tulisan bisa melembutkan hati yang kekerasan dek maksiat yang tak pernah berjauhan.
Tulisan bisa mengalirkan air mata yang bertakungan,
yang tidak mampu dialirkan walau di malam malam hari yang sunyi,
kerana sudah sebatinya dosa dengan diri.

Tulisan akan punya kebaikan yang tidak akan pernah selesai kita senaraikan.

Tulisan itu satu anugerah dari Allah. Ia punya keajaiban.

Sebagaimana gambarannya wahyu itu,
apabila diturunkan kepada Nabi yang mulia,

"Umpama Al Quran itu tertulis di hatiku.."

Maka Allah memandu rasulNya juga dengan tulisan, walaupun tanpa kebolehan untuk membaca,
walaupun ia sepenting penting keupayaan
untuk berpegang pada Al Quran.

Allah berkehendak,
untuk menghantar panduan panduan kehidupan untuk kita, hamba hambaNya, melalui dua;


"Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci"


Al Bayyinah : 2




Rasul dari Allah untuk memperlihatkan dan menghidupkan satu perumpamaan terbaik sebagai hamba
dan lembaran lembaran suci, iaitu lembaran yang menyimpan panduan itu,
lantas menjadi petunjuk sepanjang zaman.

Menyimpannya,
dalam bentuk tulisan.


Melihat keindahan ini,
maka kita akan sedari betapa berkuasanya tulisan dalam kehidupan.

Dan di sini lah saya, cuba memegang pena.
Kekok lagi. Tulis padam tulis padam.
Tapi kena terus juga. Terus.

Kerana yang menyelamatkan saya dari futur, seringkalinya adalah tulisan tulisan sendiri.
Betapa apa yang kita lafazkan, kita tuturkan dalam susunan aksara ini adalah satu tanggungjawab yang akan dihisab.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!


As Saff : 2

Futur dan tewas bagaimanapun dengan nafsu dalam kehidupan,
kita tetap rasa terpanggil dengan panggilan untuk orang beriman.

Dan dengan perintah ini,
kita terpanggil untuk menyemak semula diri,
mengimbau apa yang pernah kita serukan, apa yang pernah kita tuliskan.

Menulislah, sahabat.
Tumpahkan apa yang kita rasa di sini, bertemankan aksara aksara yang setia.

Aku juga seperti kamu.
Aku ada cuma minat, tapi tiada bakat.

Yang aku tahu,
aku mengisi malam hariku dengan menulis berniat ibadat,

kerana aku mahu
aku yang ketika ini beriman,
menulis untuk aku yang nanti, yang kefuturan.

Moga ketika itu,
aku membaca kembali taujihatku,
aku sedari bahawa

tulisan ini adalah dari jari yang sama.



Yang tiada apa apa,

Adwa'.







No comments: